Ford Fiesta ST Edition Jana 200hp Dengan 290Nm, Hanya 500 Unit Ditawarkan
Erywan
08/10/2020 05:59 MYT
08/10/2020 05:59 MYT
Ford telah memperkenalkan Fiesta ST Edition, model edisi istimewa yang akan ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Eropah. Hanya 500 unit akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga £27,075 (RM145,848).
Bagi menarik perhatian, Fiesta ST Edition didatangkan dalam warna Azure Blue yang diserlahkan lagi dengan kemasan hitam berkilat pada gril, perumah lampu kabus, diffuser belakang, bumbung, cermin sisi dan spoiler belakang. Model ini turut mendapat rim aloi 18 inci baharu yang dikatakan 8kg lebih ringan berbanding rim standard.
Bagi menarik perhatian, Fiesta ST Edition didatangkan dalam warna Azure Blue yang diserlahkan lagi dengan kemasan hitam berkilat pada gril, perumah lampu kabus, diffuser belakang, bumbung, cermin sisi dan spoiler belakang. Model ini turut mendapat rim aloi 18 inci baharu yang dikatakan 8kg lebih ringan berbanding rim standard.
Penambahbaikan untuk ruang kabin termasuk kemasan gentian karbon pada kluster instrumen dan papan pemuka, serta kemasan krom pada corong pendingin hawa dan butang penghidup enjin. Sementara itu, roda stereng, tombol gear, brek tangan, panel pintu dan tempat duduk Recaro pula dibalut upholsteri kulit dengan jahitan biru kontras.
Selain penampilan luaran dan dalaman, casis Fiesta ST Edition turut dipertingkatkan menerusi penggunaan suspensi boleh laras yang telah diuji di litar Nurburgring. Ia merangkumi sistem ‘coilover’ dua-hala dengan 12 tetapan ‘bump’ dan 16 tetapan lantunan (rebound) bagi mendapatkan tindak balas yang lebih baik ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Bukan itu sahaja, sistem ini juga mengurangkan ketinggian suspensi sebanyak 15mm di hadapan dan 10mm di belakang. Limited-Slip Differential (LSD) Quaife pula bekerjasama dengan teknologi Torque Vectoring Control untuk memaksimumkan cengkaman pada gandar hadapan. Sistem Launch Control dan ESC dengan tiga mod turut disertakan secara standard.
Walaupun enjinnya tidak diberi sebarang naik taraf, kuasa berjumlah 200PS dan 290Nm yang dibekalkan oleh enjin EcoBoost 1.5-liter itu terbukti sudah cukup untuk Fiesta ST Edition dengan kemampuannya untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 6.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 230km/j.