Antarabangsa
Ford GT Mk II dibina 45 unit dengan harga RM4.96 juta - Hanya kegunaan litar sahaja!
Ford dan Multimatic bergabung kepakaran mereka dalam membina edisi terhad Ford GT MkII yang paling berkuasa dalam keluarga Ford GT.
Untuk memilikinya, harga jualannya mencecah USD1.2 juta (RM4.96 juta) dengan hanya 45 unit dibina dan hanya boleh digunakan di litar lumba sahaja.
Jentara itu dibina selepas dibangunkan oleh Ford Performance dengan kerjasama jurutera daripada Multimatic untuk meningkatkan daya aerodinamik serta prestasi lebih kuasa.
Daya aerodinamik dipertingkatkan dengan penggunaan spoiler belakang, manakala hadapan dilengkapi splitter dan diffuser yang turut dibantu oleh dapra baharu. Perubahan itu menyumbang sehingga 400 peratus lebih downforce berbanding Ford GT biasa.
Enjin 3.5 liter EcoBoost V6 pada jentera itu sudah ditala semula untuk menghasilkan output sehingga 700hp dan ia lebih 200hp berbanding jentera lumba biasa.
Rangkaian kuasa berkenaan masih menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, tetapi sudah diubah suai untuk menampung output yang tinggi.
Selain itu, GT Mk II ditambah sistem penyejukan enjin yang inovatif, ini termasuk sistem saluran udara yang dipasang teknologi semburan air. Semburan air secara automatik diaktifkan jika mengesan kadar kepanasan yang tinggi untuk memberi prestasi pada tahap konsisten.
Kuasa hentiannya diperkuatkan dengan brek karbon seramik serta dipadankan rim tempaan aluminium bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport GT.
Sementara itu, ruang dalaman diceriakan tempat duduk perlumbaan Sparco dengan tali enam titik, selain maklumat penting dipaparkan disediakan sistem MoTec.
Must-Watch Video