Ford Mustang Cobra Jet 1400 - Kisah Jentera Drag Tenaga Elektrik
Erywan
27/04/2020 03:38 MYT
27/04/2020 03:38 MYT
Cobra Jet bukanlah satu nama yang asing buat peminat Ford Mustang. Diperkenalkan sejak awal 1960-an, Cobra Jet adalah jentera ‘drag’ ekstrem yang boleh dibeli terus dari Ford.
Untuk tahun ini, Mustang Cobra Jet 1400 amat berbeza jika dibandingkan dengan edisi-edisi sebelumnya kerana ia tidak lagi dikuasakan oleh enjin V8 supercharged berkuasa tinggi. Sebaliknya, jentera itu mempunyai ‘nadi’ elektrik sepenuhnya.
Walaupun begitu, Ford Performance mendakwa bahawa ia lebih pantas berbanding model sedia ada. Walaupun ia sebuah prototaip, Cobra Jet 1400 dikatakan boleh melengkapkan pecutan suku-batu dalam masa lapan saat pada kelajuan melebihi 273km/j.
Seperti yang tertera pada namanya, jentera ini mempunyai 1,400hp manakala tork pula dikatakan melebihi 1,491Nm. Angka ini boleh dikatakan amat mengagumkan memandangkan ia dijana tanpa memerlukan setitik bahan api pun.
Ford bagaimanapun masih belum mendedahkan perincian dan spesifikasi mengenai bateri dan motor elektrik yang menguasai model ini.
Apa yang diberitahu adalah ia dibina dan ditala oleh MLe Racecars dengan kerjasama Watson Engineering untuk membangunkan casis dan sangkar keselamatan.
Apa yang diberitahu adalah ia dibina dan ditala oleh MLe Racecars dengan kerjasama Watson Engineering untuk membangunkan casis dan sangkar keselamatan.
Inverter dan motor elektrik pula dibekalkan oleh Cascadia manakala AEM EV bertanggungjawab mengkalibrasi perisan untuk motor terbabit.
Cobra Jet 1400 masih sedang diuji oleh Ford. Ia akan membuat penampilan sulungnya di sebuah acara drag pada hujung tahun ini.