Antarabangsa
Ford Mustang GT 1968 filem Bullitt dijual pada RM15.25 juta
Ford Mustang GT 1968 berwarna Highland Green yang digunakan dalam filem Bullitt berjaya dijual di Florida, Amerika Syarikat dengan harga AS$3.74 juta (RM15.25 juta).
Jualan pada acara lelongan Mecum Kissimmee itu menjadikan Mustang Bullitt ini sebagai model Mustang paling mahal dalam sejarah.
Ini kerana Mustang hijau usang itu sudah memintas rekod Shelby GT500 Super Snake tahun 1967 yang dijual pada harga AS$2.2 juta (RM8.97 juta) tahun lalu.
Pemilik kereta itu, Sean Kiernan dan adiknya, Kelly Cotton menaiki kereta itu membuat beberapa pusingan di Arena Silver Spurs di hadapan seramai 25,000 penonton sebelum proses bidaan bermula.
"Kereta ini sudah dijual dua kali sepanjang hayatnya, ia berada dalam pemilikan keluarga saya selama 45 tahun," kata Kiernan.
Dalam filem filem Bullitt, Mustang itu menjadi popular dalam aksi 10 minit kejar mengejar oleh pelakon Steve McQueen di jalan raya San Francisco untuk memburu sebuah Dodge Charger 1968 berwarna hitam.
Selepas satu minit tempoh bidaan bermula, harganya sudah mencecah AS$3 juta (RM12.25 juta). Bidaan dibuat secara langsung dan menerusi panggilan telefon.
Individu yang berjaya membida kereta itu kekal misteri dan dia melakukannya menerusi panggilan telefon, bersetuju untuk bayar AS$3.4 juta (RM13.86 juta) dengan premium pembeli 10 peratus.
Bapa Kiernan iaitu Robert membeli kereta itu pada harga AS$3,500 selepas melihat satu iklan dalam majalan Road & Track tahun 1974. Mereka menggunakan kereta itu setiap hari hingga klac rosak pada tahun 1980.
Steve McQueen pada tahun 1977 ada menulis surat untuk membeli semula kereta itu daripada keluarga Kiernan. Dia menyatakan mahu menyimpan kereta itu dalam keadaan asal dan di bawah pemilikan keluarganya. Robert enggan menjualnya.
Sumber: DailyMail
Must-Watch Video