Watch
[Galeri Gambar] Retro Havoc 2019 - ‘Syurga' himpunan kereta JDM Malaysia
Acara perhimpunan kereta lama, Retro Havoc 2019 bagi edisi keenam pada tahun ini boleh diibaratkan sebagai ‘Syurga' himpunan kenderaan JDM di Malaysia dengan menampilkan jentera menarik dan sukar ditemui di jalan raya.
Boleh dikatakan lebih 50 peratus jentera yang menyertai acara itu adalah kenderaan buatan Jepun sama ada kereta lama atau berprestasi.
Lebih menarik, jentera berprestasi yang terdiri daripada Mitsubishi Evolution, Mazda RX-7, Nissan Skyline, Honda Integra dan Civic turut menceriakan acara berkenaan.
Pada acara kali ini, susunan kenderaan lebih teratur dan menarik untuk tatapan pengunjung bagi melihat kenderaan secara dekat yang sudah menjalani proses modifikasi atau restorasi.
Ternyata usaha Retro Havoc untuk menghidupkan budaya restorasi atau modifikasi kereta-kereta lama dilihat positif dan membuahkan hasil selepas menghimpunkan peminatnya di seluruh Malaysia.
Pengasas Retro Havoc, Rosli Said berkata, hampir 600 kenderaan menyertai acara itu yang diadakan di Kompleks BRT Sunway pada Sabtu lalu.
Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya menyediakan hadiah utama cabutan bertuah kepada pengunjung membabitkan Toyota Starlet KP61 yang sudah menjalani proses restorasi dengan bernilai RM15,000.
“Bagi hadiah kedua pula, tiket penerbangan ke Tokyo Auto Salon 2020 diikuti satu rim Atara Racing dan lima hadiah istimewa lain,” katanya.
Rosli berkata, selain penyertaan warga tempatan, ada juga peserta dari Thailand dan Singapura yang menyertai acara tahunan berkenaan.
Retro Havoc 2019 turut menjalani kerjasama dengan Pemuda Pekema dan turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia.
Must-Watch Video