Kerajaan Malaysia menerima bantuan perubatan tambahan sumbangan daripada Geely Holding Group, dan rakan strategik tempatan, DRB-HICOM, iaitu syarikat induk PROTON.

Sumbangan itu terdiri daripada topeng muka 3 lapisan, pakaian pelindung, kaca mata perubatan dan mesin ventilator AD 700 PL.

Semua barangan itu akan diedarkan ke 55 buah hospital di seluruh negara seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.



Sumbangan yang diberi adalah sebahagian daripada inisiatif Geely Holding untuk membekalkan peralatan perubatan melalui Yayasan Kebajikan Li Shufu ke kawasan-kawasan yang terjejas di China serta ke negara-negara luar yang beroperasi di bawah syarikatnya, dengan tujuan membantu membendung penularan pandemik COVID-19.

Yayasan itu ditubuhkan pada tahun 2006 oleh pengasas Geely Holding, Li Shufu, yang menumpukan untuk membasmi kemiskinan dan membantu bencana global.

Pada Januari 2020, yayasan itu memperuntukkan sebanyak RMB 200 juta (USD 28 juta) untuk menyokong usaha memerangi COVID-19 secara global.

Pengerusi Geely Holding, Li Shufu, berkata, sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab secara sosial, pihaknya mempunyai peranan untuk menyokong kebajikan setiap syarikat yang beroperasi di bawah kami.

“Saya sangat berbesar hati kerana kami mempunyai sumber dan keupayaan logistik untuk menghantar bekalan yang diperlukan ke kawasan yang dilanda wabak ini.

“Kami akan membantu masyarakat dan pihak berkuasa terutama dari segi perubatan untuk mengatasi penularan wabak ini seboleh mungkin,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, sebagai penyumbang utama dalam ekonomi negara, ia adalah satu keperluan untuk membantu kerajaan dalam memerangi penyebaran COVID-19.

“Petugas barisan hadapan adalah tulang belakang negara jadi amatlah penting bagi kami untuk membantu mereka dalam apa jua cara sekalipun.

“Kami sangat beruntung kerana mempunyai rakan usaha sama seperti Geely yang bermurah hati untuk turut membantu mempermudahkan usaha kami ini," katanya.

Bekalan perubatan yang disumbangkan dari Geely dianggarkan bernilai MYR5.5 juta (USD1.3 juta).