Antarabangsa

Generasi Baharu Volkswagen Golf R, Kini Ada Mod Drift Dan Nurburgring

gempak
Erywan
05/11/2020
03:51 MYT
Sponsor Banner
Generasi Baharu Volkswagen Golf R, Kini Ada Mod Drift Dan Nurburgring
Volkswagen Golf sudah pun menempa namanya dalam segmen hatchback sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1974. Kini, ia memasuki generasi kelapan dan varian R yang baru sahaja diperkenalkan dan ia amat istimewa kerana jentera itu adalah model produksi Golf paling berkuasa pernah dihasilkan.
Dibangunkan sebagai persaingan utama Mercedes-AMG A35 dan BMW M135i, Golf R baharu tampil dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder (EA888) yang ditala untuk menghasilkan 315hp dan 420Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.
Berita baik untuk penggemar manual kerana model ini didatangkan secara standard dengan transmisi manual enam kelajuan. Bagaimanapun, Volkswagen masih menawarkan transmisi automatik DSG tujuh kelajuan.
Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Motion yang telah dinaik taraf dengan sistem pemvektoran tork yang boleh membahagikan tork antara roda kiri dan kanan. Sistem ini boleh menyalurkan sehingga 100 peratus tork ke roda pada sebelah luar bagi menjadikan ia lebih lincah di selekoh.
Selain itu, Volkswagen turut menala semula suspensi Golf R bagi menjadikan ia lebih rendah sebanyak 20mm dan menggunakan peredam dan ‘anti-roll bar’ yang lebih tegar sebanyak 10 peratus. Bukan itu sahaja, ‘camber’ pada gandar hadapan dikurangkan sebanyak 1 darjah untuk meningkatkan kestabilan, manakala penggunaan subframe aluminium mengurangkan berat sebanyak 3kg.
Dari segi elektronik, Golf R hadir dengan dua mod pemanduan baharu iaitu Drift dan Special. Secara ringkasnya, mod Drift membolehkan pemandu melakukan aksi ‘drift’ dengan lebih mudah sementara mod Special pula mengandungi tetapan khas untuk pemanduan di litar Nurburgring. Mod-mod lain yang disertakan adalah Comfort, Sport, Race dan Individual.
Golf R tampil dengan kit badan yang tampak lebih agresif berbanding GTI, dengan splitter ala motorsport, gril ambilan udara R dan elemen hitam berkilat. Pada bahagian atas gril, terdapat jalur LED berwarna biru yang akan menyala apabila enjin dihidupkan. Turut disertakan adalah rim aluminium 19 inci, angkup brek berwarna biru, serta diffuser belakang yang menempatkan empat muncung ekzos.
Ruang kabin pula menampilkan kerusi sport dengan balutan kulit Nappa dan elemen gentian karbon, jahitan kontras biru serta logo R yang disulam pada bahagian perehat kepala. Butang ‘R’ pada stereng pula memberikan akses segera kepada mod pemanduan. Kelengkapan standard lain termasuklah trim karbon pada papan pemuka, pedal keluli dan sistem pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live