Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Genesis G70 Shooting Brake, Jentera Station Wagon Masih Lagi Mempunyai Peminatnya

Erywan
20/05/2021 06:12 MYT
Walaupun cita rasa pembeli kereta di seluruh dunia beralih kepada SUV, kenderaan jenis ‘station wagon’ masih mempunyai peminatnya yang tersendiri terutamanya di benua Eropah. Mungkin kerana faktor itulah Genesis memperkenalkan model terbaharunya iaitu G70 Shooting Brake.

Kecuali bentuk badannya yang berbeza, model ini hadir dengan penampilan yang sama dengan G70 Sedan. Ia boleh dilihat pada bahagian hadapan menerusi lampu Quad dan gril yang diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah. Bagaimanapun, lampu belakang sedikit berbeza di mana model ini mempunyai rekaan lampu bertingkat.


Apa yang menarik, G70 Shooting Brake mempunyai ukuran yang sama versi sedan, dengan ukuran panjang 4,685mm, lebar 1,850mm, tinggi 1,400mm dan tapak roda sepanjang 2,385mm.

Sudah tentu, model ini mempunyai kelebihan dari segi ruang but di mana ia 40 peratus lebih luas. Bukan itu sahaja, tempat duduk belakang juga boleh dibaringkan sepenuhnya dalam format 40:20:40.


Setakat ini, Genesis masih belum mendedahkan maklumat terperinci mengenai pilihan enjin yang disediakan untuk model ini. Bagaimanapun, ia dijangka ditawarkan dengan barisan enjin yang sama seperti versi sedan iaitu enjin petrol turbo 2.0-liter empat silinder, enjin 3.3- liter twin-turbo V6 serta enjin turbodiesel 2.2-liter empat silinder.

G70 Shooting Brake akan dilancarkan eksklusif untuk pasaran Eropah dan akan mula dijual di sana bermula musim panas tahun ini.

#Genesis
;