Genesis Perkenalkan Model EV Pertama, Electrified G80
Erywan
27/04/2021 05:19 MYT
27/04/2021 05:19 MYT
Genesis, sebuah jenama mewah yang dahulunya bernaung di bawah Hyundai, mengesahkan kemasukan mereka ke dalam segmen elektrik dengan model EV pertama yang dikenali sebagai Electrified G80.
Diperkenalkan di Shanghai Auto Show 2021 yang berlangsung baru-baru ini, Electrified G80 secara asasnya adalah versi elektrik kepada sedan G80. Ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik yang bergabung untuk memberikan kuasa keseluruhan berjumlah 365PS dan 700Nm, serta pacuan semua roda (AWD). Dalam mod Sport, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.9 saat.
Diperkenalkan di Shanghai Auto Show 2021 yang berlangsung baru-baru ini, Electrified G80 secara asasnya adalah versi elektrik kepada sedan G80. Ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik yang bergabung untuk memberikan kuasa keseluruhan berjumlah 365PS dan 700Nm, serta pacuan semua roda (AWD). Dalam mod Sport, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.9 saat.
Menurut Genesis, model ini mempunyai sistem pengecasan 400V/800V yang membolehkan ia menggunakan infrastruktur pengecasan yang berbeza. Kapasiti baterinya tidak didedahkan namun ia dikatakan mempunyai jarak pemanduan sejauh 500km (mengikut kitaran NEDC) dan boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 22 minit.
Selain itu, Electrified G80 dilengkapi dengan Disconnector Actuator System (DAS) yang berfungsi untuk menyambungkan atau memutuskan motor elektrik dengan aci pemacu bergantung kepada faktor seperti kelajuan dan mod pemanduan. Ini membolehkan sistem menukar antara pacuan 2WD dan AWD dengan lancar bagi meningkatkan kecekapan tenaga.
Ia juga mempunyai ciri Vehicle to Load (V2L) yang membolehkan pemandu menggunakan kuasa elektrik sehingga 3.6kW untuk digunakan untuk peralatan elektrik. Satu lagi teknologi yang disertakan adalah ANC-R (Active Noise Control-Road) yang menggunakan empat sensor dan enam mikrofon untuk mengurangkan bunyi bising di dalam kabin.
Sistem Preview Electronic Control Suspension (Pre-View ECS) yang boleh dikawal menerusi maklumat dari kamera hadapan dan sistem navigasi turut menyumbang dalam menghasilkan suasana pemanduan yang premium.
Secara keseluruhannya, penampilan Electrified G80 tidak jauh berbeza dengan versi standard kecuali ia mempunyai pintu pengecas pada bahagian kanan jeriji yang tersembunyi apabila ditutup dan panel solar di atas bumbung. Ruang dalamannya pula menampilkan bahan-bahan kitar semula.