Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

GIVI tawar kotak simpanan baharu hadir rekaan terkini serta lebih tahan

Public Anonymous User
01/04/2019 03:02 MYT

Sempena menyambut ulang tahun ke-25, GIVI Asia selaku pengeluar aksesori motosikal terkemuka di dunia melancarkan kotak simpanan (boks) baharu bagi pasaran Malaysia.

Ia membabitkan kotak belakang iaitu Monolock B32N-Advance Bold dan Monolock B270N; kotak sisi membabitkan model Monokey E23N serta kotak tengah G12N.

Semua produk itu diperbaharui dengan inovasi berteknologi tinggi bagi menjaminkan ia mesra pengguna, boleh dipercayai serta lebih tahan.

B23N-Advance Bold

Ia adalah kotak simpanan yang diadaptasi daripada boks yang menerima permintaan ramai iaitu B32 BOLD.

Kotak simpanan baharu itu dilengkapi dengan empat komponen tambahan iaitu sepasang pemegang rod tahan karat di bahagian atas, jaring serba guna, tempat penyandar belakang serta turut didatangkan dengan pad dalaman tambahan.

B270 Monolock

Boks itu pula adalah kotak simpanan yang mempunyai ukuran isipadu 27 liter dengan tampil dengan rupa bentuk aerodinamik serta sporty.

Hadir kemasan logo GIVI warna perak yang mampu memberi imej sebuah motosikal adventure.

Ia juga dilengkapi sistem kekunci Monolock terbaharu yang mana ia mampu ditutup tanpa memerlukan kunci. Dengan tambahan kemasan karbon fiber di bahagian atas menambahkan lagi kesan premium sporty boks itu.

E23 Monokey

Di samping itu, Givi Asia juga memperkenalkan kotak simpanan sisi terbaru E23 Monokey. Ruangnya mencecah 23 liter untuk setiap sisi yang mempunyai beban maksimum sehingga 5 kilogram.

Ia juga didatangkan bersama lampu isyarat bersepadu tambahan dan jalur reflektif prisma yang tinggi, ciri keselamatan ini mampu memberi kesan pencahayaan lebih baik di jalan raya.

G12N

Kotak simpanan itu adalah bagi menggantikan ‘bakul’ tengah yang konvensional. Ia diinovasikan daripada produk G10 sebelum ini dengan kapasiti 12 liter yang mana lebih besar dua liter berbanding produk sebelumnya.

Selain itu, ia mempunyai kunci untuk memastikan barangan berharga tidak terdedah kepada orang lain serta melindunginya daripada kes kecurian atau terkena hujan.

Pada masa sama, Givi Asia juga memperkenalkan aksesori lain membabitkan beg bersaiz 15 liter RBP03 Rider Tech Camo, beg pinggang RWB05 Rider Tech Camo dan beg saddle RSB01 Rider Tech.

Anda yang mahu memilikinya, semua aksesori itu akan berada di pasaran bermula April ini.

Sementara itu, penunggang wanita pertama berjaya keliling dunia itu, yang juga Duta GIVI, Anita Yusof turut melancarkan buku Global Dream Ride Siri Ke-2, 'Andai Ini Takdir Yang Kupilih'.

Ia adalah buku kedua daripada lima siri berhubung pengalamannya mengelilingi dunia yang dijual pada RM35 senaskah. Jika berminat, anda boleh menempahnya di laman sosial facebook, Anita Yusof.

;