Biarpun menghampiri usia 30 tahun, supercar rekaan Gordon Murray iaitu McLaren F1 kekal sebagai antara jentera paling unik pernah dihasilkan oleh mana-mana pengeluar.

Kini, pereka British terkenal itu telah memperkenalkan sebuah model baharu di bawah jenamanya sendiri iaitu Gordon Murray Automotive.


Dikenali sebagai T.50, ia boleh dikatakan sebagai pengganti kepada McLaren F1. Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi bentuk luarannya serta susun atur ruang kabin, di mana kerusi pemandu berada di tengah-tengah dan diapit oleh dua kerusi penumpang pada sebelah kiri dan kanan.

Bukan itu sahaja, seperti F1, T.50 turut mempunyai pintu ‘dihedral’ yang dibuka ke atas, serta enjin aspirasi natural V12 yang dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.


Bersesaran 3.9 liter, enjin yang dibangunkan oleh Cosworth itu menghasilkan 663PS pada 11,500rpm dan 467Nm pada 9,000rpm, dengan ‘redline’ mencecah 12,100rpm.

Tiada sebarang angka prestasi didedahkan, namun dengan nisbah berat-kuasa 150.77kg bagi setiap 100PS, ia sudah semestinya sangat laju. Untuk perbandingan, supercar dalam kelas yang sama kebiasaannya mempunyai nisbah berat-kuasa sekitar 210kg bagi setiap 100PS.


Menurut syarikat itu, nisbah tersebut dicapai menerusi penggunaan gentian karbon untuk pembinaan casis monocoque dan panel badan, sekali gus menjadikan berat keseluruhan jentera ini hanya 986kg atau satu pertiga lebih ringan berbanding pesaing terdekatnya.

Casis monocoque itu dipadankan dengan sistem suspensi ‘double wishbone’ yang diperbuat daripada aluminium tempaan. Tugas membrek pula dikendalikan oleh cakera seramik dan angkup keluaran Brembo.


Dari segi aerodinamik pula, T.50 mempunyai sesuatu yang tidak terdapat pada mana-mana pesaingnya iaitu kipas yang terletak pada bahagian belakang.

Berukuran 400mm, kipas terbabit mampu meningkatkan jumlah ‘downforce’ sebanyak 50 peratus (100 peratus jika dalam Braking Mode) dengan bantuan spoiler aktif dan diffuser.


Selain itu, ia juga boleh mengurangkan daya seret (drag) sebanyak 12.5 peratus dan mengurangkan jarak brek sebanyak 10m pada kelajuan 241km/j. Dalam V-Max Boost Mode, kipas terbabit akan memberikan enjin kuasa tambahan sebanyak 50PS.


GMA akan mengehadkan pengeluaran T.50 kepada 100 unit sahaja dan setiap satu akan dijual pada harga bermula £2.36 juta (RM13 juta). Setiap pembeli akan dijemput untuk proses penyesuaian tempat duduk dan sebagainya.