Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

G-Power tambah kuasa BMW M8 Competition Cabriolet sehingga 820hp

Erywan
27/03/2020 03:11 MYT
Banyak syarikat talaan atau ‘tuner’ di luar sana yang gemar menjadikan jentera BMW sebagai bahan uji kaji mereka. Tetapi bagi mereka yang lebih mementingkan kuasa daripada penampilan, G-Power adalah antara nama yang boleh dipercayai.

Terbaru, syarikat dari Bavaria itu telah memperkenalkan pakej naik taraf untuk BMW M8 Competition Cabriolet. Dalam keadaan standard, model itu cukup berkuasa dengan 625hp dan750Nm yang dibekalkan oleh enjin twin-turbo 4.4-liter V8.

Bagaimanapun, pakej G8M Bi-Turbo dari G-Power meningkatkan kuasanya kepada 820hp dan 1,000Nm menerusi gabungan naik taraf perisian dan juga perkakasan.

Selain perisian prestasi GP-820, pakej itu turut merangkumi pengecas turbo yang baharu, ‘downpipe’ dengan atau tanpa penukar pemangkin dan sistem ekzos titanium dengan muncung gentian karbon.

Tidak dinafikan ada di antara pelanggan yang akan merasakan bahawa kuasa tersebut terlalu tinggi. Untuk itu, G-Power turut menawarkan dua lagi pakej prestasi dengan kuasa berjumlah 720hp/850Nm atau 770hp/930Nm.

Aspek penampilan tidak begitu ditekankan kerana reka bentuk asal M8 memang sudah sedia memukau. Tetapi jika pelanggan mahukan penampilan yang lebih menonjol, mereka boleh mendapatkan rim tempaan Hurricane RR 21 inci, lengkap dengan tayar Michelin berukuran 285/30 di hadapan dan 295/30 di belakang.

;