Antarabangsa
Hampir sedekad, akhirnya Nissan perkenalkan Juke generasi kedua
Nissan akhirnya memperkenalkan Juke generasi kedua, hampir sedekad selepas model generasi pertama dilancarkan. Menurut syarikat itu, Juke kali ini direka khas untuk pasaran Eropah, di mana hampir 1 juta unit model itu terjual.
Konsep reka bentuk luaran Juke yang unik sudah diperkemaskan menerusi kehadiran jeriji V-Motion, serta gabungan lampu tirus dan lampu LED bulat dengan elemen berbentuk ‘Y’. Ia juga didatangkan dengan rim 19 inci dan reka bentuk bumbung ‘terapung’ ala coupe.
Crossover segmen B itu ditawarkan dengan 11 pilihan warna badan, termasuk warna eksklusif Fuji Sunset yang dipaparkan ini.
Dibina di atas platform CMF-B yang turut digunakan pada Renault Captur, model berkenaan membesar dari segi dimensi dengan ukuran panjang 4,210mm, lebar 1,800mm dan tinggi 1,595mm. Walaupun begitu, ia sebenarnya 23kg lebih ringan berbanding model sebelum ini.
Penggunaan platform baharu itu turut menjadikan bahagian dalaman lebih luas. Nissan mendakwa bahawa ruang lutut serta ruang kepala bagi tempat duduk belakang masing-masing meningkat sebanyak 5.8cm dan 1.1cm, manakala ruang bagasi kini berkapasiti 422 liter iaitu 20 peratus lebih besar.
Pemandu kini boleh menikmati sistem infotainmen Nissan Connect terbaru yang diakses menerusi skrin sentuh berukuran lapan inci.
Antara ciri-ciri yang ditawarkan adalah Apple CarPlay, Android Auto serta Wifi. Sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara (termasuk dua pada perehat kepala kerusi hadapan) boleh didapati secara pilihan.
Bagi pasaran Eropah, Juke ditawarkan dengan enjin turbo 1.0-liter tiga silinder DIG-T dengan janaan 117PS. Pilihan transmisi adalah manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan, kedua-duanya dengan mod Eco, Standard dan Sport.
Buat pertama kalinya, Juke dilengkapi dengan teknologi ProPilot yang menawarkan bantuan kawalan stereng, pecutan dan brek secara elektronik bagi memudahkan pemanduan.
Selain itu, ciri keselamatan yang disertakan adalah Emergency Braking with Pedestrian and Cyclist Recognition, Traffic Sign Recognition, Intelligent Lane Intervention, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Intervention.
Must-Watch Video