Antarabangsa

Hanya 15 Unit McLaren Sabre Dibina, Hasil Gabungan Model Speedtail dan Senna

gempak
Erywan
11/01/2021
09:25 MYT
Sponsor Banner
Hanya 15 Unit McLaren Sabre Dibina, Hasil Gabungan Model Speedtail dan Senna
Ada satu model edisi terhad baharu yang direka khas oleh McLaren Special Operations (MSO) untuk pelanggan jenama itu di Amerika Syarikat.
Dikenali sebagai Sabre, model ultra eksklusif ini mempunyai enjin 4.0 liter twin-turbo V8 dengan kuasa mencecah 824hp dan 800Nm, membolehkannya memecut sehingga 350km/j. Ini secara tidak langsung menjadikannya model bukan hibrid McLaren paling berkuasa setakat ini.
Hanya 15 unit Sabre akan dihasilkan dan setiap unit sudah pun mempunyai pemilik masing-masing. Apa yang menarik, setiap pemilik diberi keistimewaan untuk terlibat dalam proses pembangunan jentera itu. Ini termasuk menyertai sesi pandu uji semasa ia masih sedang dalam fasa pembangunan di sebuah litar persendirian di California pada awal tahun lalu.
Bukan itu sahaja, pemilik turut berpeluang memberikan maklum balas mengenainya kepada pereka dan jurutera McLaren di Woking dalam satu sesi perbualan video. Ini bagi memastikan rekaan supercar itu menepati citarasa dan spesifikasi yang dikehendaki oleh pelanggan.
Bercakap tentang rekaan, penampilan Sabre boleh dikatakan seperti gabungan antara dua lagi model eksklusif McLaren iaitu Speedtail dan Senna. Bentuk badannya yang dramatik digabungkan dengan ciri-ciri aerodinamik seperti ‘splitter’ hadapan, lubang aliran udara pada bahagian hud, dapra yang lebar serta sirip tengah bersambung dengan spoiler belakang. Tidak dilupakan adalah pintu ‘butterfly’ yang dibuka ke atas.
Sabre tidak boleh dijual di luar Amerika Syarikat walaupun jika McLaren mahu kerana setiap satu daripadanya “dihomologasikan mengikut piawaian persekutuan Amerika Syarikat dan menampilkan idea dan inovasi yang tidak dibenarkan oleh homologasi global.”
Harga model ini tidak didedahkan namun ia dikatakan berharga antara $1 hingga $2 juta (RM4 sehingga 8 juta). Unit pertama telah diserahkan kepada pemiliknya oleh McLaren Beverly Hills baru-baru ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live