Perodua akan menurunkan harga semua modelnya (harga atas jalan tanpa insurans) antara 3 hingga 6 peratus melalui rebat tunai sehingga 14 Jun 2020 dan akan mengekalkan harga baharu itu sepanjang tempoh pengurangan cukai seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3 hingga 6 peratus bagi pembelian kenderaan Perodua bermula hari ini.

"Kami mahu membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan.

"Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15 Jun,” katanya.

Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.


Dalam ucapan Rancangan Pemulihan Ekonomi pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk merangsang ekonomi di sebalik krisis COVID-19 yang sedang melanda negara.

Antara insentif untuk membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50 peratus bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.

Menurut Zainal, Perodua menyokong penuh langkah kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha memulih dan menaikkan ekonomi domestik.

Katanya, rakyat Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja berikutan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, namun kenderaan persendirian masih diperlukan pada masa yang sukar ini.

“Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif – bukan sahaja pelanggan tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar.

"Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, kami optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu,” katanya.