Antarabangsa

Hasil Tangan Baharu Alpina iaitu B5 dan D5 S, Berasaskan BMW 5 Series

gempak
Erywan
25/06/2020
07:08 MYT
Sponsor Banner
Hasil Tangan Baharu Alpina iaitu B5 dan  D5 S, Berasaskan BMW 5 Series
Selepas memperkenalkan D3 S dan XB7 baru-baru ini, Alpina kini kembali lagi dengan dua hasil kerja tangan terbaru mereka iaitu B5 dan D5 S.
Ditawarkan dalam versi sedan dan wagon, kedua-dua model berkenaan adalah berasaskan BMW 5 Series G30 facelift (LCI) yang baharu.
Menggunakan varian M550i sebagai asas, B5 menampilkan enjin twin-turbo 4.4-liter V8 yang menghamburkan 630PS dan 800Nm, iaitu 100PS dan 50Nm lebih tinggi berbanding kuasa asal.
Dengan gandingan kotak gear automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD), B5 sedan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat dan seterusnya mencapai kelajuan maksimum 330km/j. Sementara itu, versi wagon pula melakukannya dalam 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 322km/j.
Sementara itu, D5 S pula berasal dari varian 540d yang mempunyai enjin turbodiesel bersesaran 3.0-liter dengan enam silinder yang disusun secara selari.
Dalam versi standard, enjin tersebut menghasilkan 340PS dan 700Nm tetapi dengan sentuhan ajaib Alpina, ia kini menjana 408PS dan 800Nm.
Ini membolehkan jentera itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.4 saat bagi sedan atau 4.6 saat bagi wagon, dengan kelajuan maksimum masing-masing mencecah 286km/j dan 283km/j. Seperti B5, model ini dilengkapi dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD.
Antara penambahbaikan lain yang turut disertakan adalah sistem suspensi sport dengan peredam adaptif, serta Integral Active Steering dengan kawalan stereng gandar belakang yang membolehkan roda belakang dipusingkan sehingga 2.3 darjah ke arah kiri dan kanan.
Dari segi penampilan, kedua-dua B5 dan D5 S hadir dengan kit badan rekaan Alpina dengan bukaan udara 40 peratus lebih besar pada bahagian hadapan, rim Alpina Classic berukuran 20 inci dan upholsteri kulit Lavalina.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live