Antarabangsa
Honda BR-V Dipertingkatkan Dengan Ciri Baharu, Tampak Lebih Segar!
Crossover tujuh tempat duduk, Honda BR-V versi dipertingkatkan kini dibuka untuk tempahan dan dijangka akan dilancarkan suku pertama tahun ini.
Kehadiran versi dipertingkatakan itu selepas tiga tahun Honda BR-V diperkenalkan buat kali pertama di pasaran Malaysia. Sehingga Januari lalu, ia mencatatkan jualan melebihi 36,000 unit.
Bagi memberi imej lebih segar, model BR-V yang diambil daripada singkatan nama (Bold Runabout Vehicle), kini menerima pembaharuan di bahagian luarannya..
Pembaharuan itu boleh dilihat dengan kehadiran rekaan baharu pada bahagian bampar dan jeriji. Pada masa sama, bahagian bawah bampar dan lampu kabus menerima hiasan baharu.
Di belakangnya pula, bampar menerima sentuhan baharu yang kelihatan sedikit berpetak serta tampak lebih kemas dengan padanan antena sirip jerung, selain menggunakan rim rekaan 16 inci rekaan terbaru.
Tidak cukup dengan itu, semua varian BR-V kini diberi ciri kemudahan terkini untuk memasuki ruang kabin dengan padanan Keyless Entry dengan butang penghidup enjin.
Ruang dalamannya pula kini didatangkan dengan kerusi balutan kulit yang diperkemaskan warna merah untuk memberi ciri sporty dan pada masa sama untuk keselesaan penumpang serta pemandu.
Bagi prestasinya, ia masih mengunakan enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang menyalurkan 120PS dengan tork setinggi 145Nm. Seperti sebelum ini, BR-V adalah kenderaan yang praktikal untuk keluarga kerana ia mempunyai ruang yang luas.
Kerusi barisan ketiga pula yang boleh dilipat 50:50 memberi ruang yang lagi luas dan ia sangat sesuai untuk perjalanan balik kampung atau aktiviti hujung minggu.
Harganya, masih belum lagi didedahkan dan tunggu pada majlis pelancarannya tidak lama lagi.