Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Honda C65 kayu!

Public Anonymous User
22/04/2018 03:09 MYT
Dalam keluarga motosikal kategori Cub, Honda C70 dan 50 dengan lampu bulat adalah dua model yang popular dan digilai ramai.

Namun satu lagi varian ‘C’ yang makin pupus dan sukar ditemui adalah C65. Ia boleh dikatakan mirip C50, tetapi mempunyai sedikit perbezaan dari kuasa enjin dan rekaannya.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang, sebuah motosikal jenis ini milik Hazaruddin Hamzah, 46, agak menarik untuk dikongsikan kepada umum kerana bukan sahaja kondisinya yang tampak baru, malah mempunyai tema badan unik kelihatan seperti lapisan kayu.

Paling uniknya apabila enjin yang digunakan adalah gabungan komponen dari tiga varian keluarga Honda sendiri membabitkan kulit enjin, komponen dalaman enjin serta karburetor. Pelik bukan?

Bagaimanapun, menukar enjin itu bukannya mahu meningkatkan prestasi tetapi rangkaian kuasa asal sudah mengalami kerosakan sepenuhnya.

Jadi pemiliknya tekad menggabungkan enjin Honda EX5 bersama komponen dalaman dari Honda Fame dan turut menggunakan karburetor Honda Wave.

Kombinasi pelik berkenaan menaikkan sesaran asal dari 65cc kepada 110cc dan disebabkan itu ia mampu menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia dengan lancarnya.

Sekali pandang mungkin kelihatan komponen badan jentera diperbuat dari kayu, tetapi sebenarnya adalah pelekat binaan khas yang kemudiannya dicat dengan pengilat.

Beberapa beberapa komponen asal sudah ditukar baharu seperti rim khas 17 inci dengan lingkaran putih pada sisi tayar untuk menyerlahkan lagi gaya motosikal klasik.

Tempat duduk tunggal turut mencuri tumpuan dan tampak lebih menyerlah apabila memasang beg sisi pada bahagian belakang kanan untuk memberikan imej berbeza.

Pada bahagian hendal turut terselit lampu asal dan meter tambahan bagi menggantikan komponen tulen yang tidak lagi dapat diselamatkan.

Komponen seperti penyerap hentak hadapan dan belakang masih berfungsi cemerlang biarpun sudah dimamah usia, tetapi diperbaharui dengan rekaan khas yang tampak lebih menarik.

Bagaimanapun kebanyakan komponen jentera itu terpaksa diimport dari Indonesia seperti ekzos asal.

Ada juga komponen basikal yang turut digunakan seperti lampu kecil di bahagian ‘ekor’ belakang dan pemijak kaki.

Jentera hasil binaan sebuah bengkel kampung di Permatang Langsat itu menelan belanja melebihi RM 6,500 kerana membeli banyak komponen asal yang hilang dan rosak.

Bagi Hazaruddin, motosikal itu amat bernilai baginya kerana ia sangat unik dan sukar ditemui.

;