Akhirnya, motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 1000RR-R dipertontonkan sempena acara FIM Endurance World Championship di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu ini.

Apa yang menariknya, tidak sampai tiga bulan selepas pengenalannya pada peringkat global, jentera istimewa itu dipersembahkan di negara ini.

Bagi Honda CBR 1000RR-R, penambahan huruf ‘R’ dihujungnya boleh dianggap ia sebagai jentera istimewa selepas memiliki DNA dan teknologi daripada motosikal lumba MotoGP.

Lihat kepada perinciannya, Honda CBR 1000RR-R dijana enjin empat silinder DOHC bersesaran 999cc yang sangat kompak dan mematuhi piawaian Euro 5.

Ia juga menerima sentuhan HRC yang mana bore dan stroke adalah sama seperti jentera RC213V. Pada masa sama, jentera itu dilengkapi dengan teknologi pengurangan geseran daripada RC213V-S serta menggunakan rod penyambung (con-rod) titanium.

Gabungan beberapa komponen baharu pada rangkaian kuasa, Honda CBR 1000RR-R berkeupayaan menghasilkan 214.5hp pada 14,500rpm dan tork setinggi 113Nm pada 12,500rpm sekali gus menjadi model CBR1000 paling berkuasa setakat ini.

Sistem ekzosnya berciri 4-2-1 yang mana dihujungnya menggunakan peredam jenama popular iaitu Akrapovic. Ia juga untuk membuatkan tork enjin lebih baik pada RPM sederhana.

Bagi mengurangkan beratnya, Honda CBR 1000RR-R dipadankan dengan kerangka aluminium rekaan baharu, selain lengan ayun (swingarm) lebih panjang seperti model RC213V-S dan padanan tayar lebar iaitu 200/55-ZR17.

Pengendalian di hadapan diperkuatkan dengan fork Showa yang digabungkan Showa Balance Free Rear Cushion Light (BFRC-L) dengan cakera brek lebih besar 10mm dengan padanan kaliper Nissin empat omboh. ABS juga boleh diubah untuk tunggangan di litar (Sport/Track).

Pada ruang kokpit, penunggang boleh melihat paparan TFT lima inci yang menyalurkan segala maklumat berhubung jentera. Ia juga ditawarkan dengan Kunci Pintar serta Start Mode (Launch Control) didatangkan sebagai standard.

Pada masa sama, ia juga ditawarkan dengan varian SP yang menerima tambahan komponen berpresrasi iaitu Brembo dan Ohlins.

Suspensi Ohlins yang digunakan adalah semi-aktif generasi kedua di belakang, manakala fork hadapan Ohlins NPX. Sistem brek pula adalah padanan teknologi terbaru Brembo dengan empat omboh di hadapan, dan belakang menggunakan kuasa hentian sama seperti RC213V-S turut jenama sama.

Bagaimanapun, ia hanya dipertontonkan sahaja dan bukan untuk jualan di Malaysia.

Sementara itu, Honda Asia-Dream Racing dengan Showa (HADR) mengumumkan barisan pelumbanya iaitu Zaqwan Zaidi daripada Malaysia dan Gerry Salim dari Indonesia.

Kedua-dua pelumba itu beraksi FIM Endurance World Championship dengan menunggang selama lapan jam di Litar Antarabangsa Sepang.

Tahun ini, HADR mencatatkan prestasi membanggakan dengan menduduki tempat keempat dalam kategori jenama dalam perlumbaan Asia Superbike 1,000cc di acara FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), manakala Zaqwan berada di tempat ketiga juara keseluruhan.

Pada tahun hadapan, pasukan itu akan meneruskan cabaran dalam ARRC ASB 1000 dengan menyasarkan kejuaraan gelaran. Mereka juga bakal menyertai JSB 1000 dan Suzuka 8-hour Endurance Race.

Pada masa sama, bekas pelumba MotoGP Jepun, Makota Tamada bakal menerusikan menjadi pengurus pasukan berkenaan. Kedua-dua pelumba itu bakal menggunakan jentera onda CBR 1000RR-R yang diperkenalkan pada EICMA 2019.