Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Tempatan

Honda CBR 1000RR-R datang Malaysia pada Disember ini?

Erywan 26/11/2019 | 04:15 MYT
Awal November lalu, Honda membuat kejutan dengan memperkenalkan motosikal yang cukup istimewa menerusi model Honda CBR 1000RR-R pada peringkat global.
Namun, jentera menerima reka bentuk sirip sisi seperti jentera MotoGP dan hadir reka bentuk enjin dan casis seakan-akan model RC213V bakal hadir di Malaysia pada Disember ini.
Kehadirannya cukup bermakna berikutan tidak sampai dua bulan diperkenalkan, ia dikatakan akan tiba di tanah air kita sempena acara Endurance World Championship di Litar Antarabangsa Sepang pada 12 sehingga 15 Disember ini.
Difahamkan kehadirannya bukannya untuk pelancaran di Malaysia, tetapi hanya untuk pameran kepada pengunjung sempena acara berkenaan. Jadi, jika anda mahu melihat lebih dekat model itu, bolehlah ke sana pada hujung minggu berkenaan.
Bagi Honda CBR 1000RR-R, penambahan huruf ‘R’ dihujungnya boleh dianggap ia sebagai jentera istimewa selepas memiliki DNA dan teknologi daripada motosikal lumba MotoGP.
Lihat kepada perinciannya, Honda CBR 1000RR-R dijana enjin empat silinder DOHC bersesaran 999cc yang sangat kompak dan mematuhi piawaian Euro 5.
Ia juga menerima sentuhan HRC yang mana bore dan stroke adalah sama seperti jentera RC213V. Pada masa sama, jentera itu dilengkapi dengan teknologi pengurangan geseran daripada RC213V-S serta menggunakan rod penyambung (con-rod) titanium.
Gabungan beberapa komponen baharu pada rangkaian kuasa, Honda CBR 1000RR-R berkeupayaan menghasilkan 214.5hp pada 14,500rpm dan tork setinggi 113Nm pada 12,500rpm sekali gus menjadi model CBR1000 paling berkuasa setakat ini.
Sistem ekzosnya berciri 4-2-1 yang mana dihujungnya menggunakan peredam jenama popular iaitu Akrapovic. Ia juga untuk membuatkan tork enjin lebih baik pada RPM sederhana.
Bagi mengurangkan beratnya, Honda CBR 1000RR-R dipadankan dengan kerangka aluminium rekaan baharu, selain lengan ayun (swingarm) lebih panjang seperti model RC213V-S dan padanan tayar lebar iaitu 200/55-ZR17.
Pengendalian di hadapan diperkuatkan dengan fork Showa yang digabungkan Showa Balance Free Rear Cushion Light (BFRC-L) dengan cakera brek lebih besar 10mm dengan padanan kaliper Nissin empat omboh. ABS juga boleh diubah untuk tunggangan di litar (Sport/Track).
Pada ruang kokpit, penunggang boleh melihat paparan TFT lima inci yang menyalurkan segala maklumat berhubung jentera. Ia juga ditawarkan dengan Kunci Pintar serta Start Mode (Launch Control) didatangkan sebagai standard.
Pada masa sama, ia juga ditawarkan dengan varian SP yang menerima tambahan komponen berpresrasi iaitu Brembo dan Ohlins.
Suspensi Ohlins yang digunakan adalah semi-aktif generasi kedua di belakang, manakala fork hadapan Ohlins NPX. Sistem brek pula adalah padanan teknologi terbaru Brembo dengan empat omboh di hadapan, dan belakang menggunakan kuasa hentian sama seperti RC213V-S turut jenama sama.
;