Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Honda Cipta Penapis Covid-19 Hapuskan Virus Dalam Kabin

Erywan
08/01/2021 06:22 MYT
Sudah setahun pandemik Covid-19 menular di seluruh dunia hingga mengubah kehidupan harian manusia dan menyebabkan banyak industri terjejas teruk.

Antaranya ialah bidang automotif dan pengangkutan awam. Ada pengeluar automotif menukar produksi kenderaan kepada penghasilan pelitup muka dan peralatan keselamatan diri (PPE) untuk sama-sama membantu mengekang virus Covid-19.

Terbaharu ialah Honda. Kali ini mereka menghasilkan satu produk antivirus untuk penapis udara dalam kabin. Komponen itu dinamakan sebagai Kurumaku.

Komponen ini akan dipasang pada permukaan atas penapis udara dalam kabin. Pendek kata, satu lapisan tambahan baharu untuk mencegah virus merebak. Komponen ini dihasilkan tepat pada masanya apatah lagi ada strain virus korona baharu yang dikesan di Britain dan sudah merebak ke Amerika Syarikat dan Singapura.


Cara Kurumaku berfungsi agak berbeza dengan penapis kabin CN95 yang digunakan pengeluar lain. Alat penapis Honda ini akan menangkap titisan virus pada bahaiag permukaan khasnya yang akan mengubah bentuk dan merosakan virus. Teknologi ini menggunakan rawatan pertukaran kimia zink fosfat.

Sebenarnya, bahan kimia itu juga digunakan untuk mencegah karat berlaku pada kenderaan. Produk penapis CN95 pula menghalang kemasukan virus atau partikel lain bersaiz lebih besar 0.3 mikro. Kurumaku pula hapuskan virus yang ada dalam kabin. Ini bezanya.

Honda yakin Kurumaku boleh hapuskan 99.8 peratus titisan virus yang terapung dalam kabin. Masa diperlukan ialah 15 minit selepas pengedaran udara dihidupkan. Virus pada permukaan pula akan dibersihkan dalam masa 24 jam. Bila perlu ganti penapis Kurumaku? Jawapan Honda ialah setiap tahun atau setiap 15,000 kilometer perjalanan.

Kurumaku akan dipasang pada kereta kei Honda N-Box sebagai permulaan di Jepun. Ini ialah aksesori tulen dengan harga jualan cuma 6,400 yen (RM248). Mungkin selepas ini, aksesori itu akan diluaskan kepada model lain dan juga ditawarkan ke negara lain.

#honda