Antarabangsa
Honda City 2020 Diuji Di Malaysia, Adakah Ini Versi Turbo 1.0 Liter?
Selepas memperkenalkan Honda City 2020 di Thailand pada hujung tahun lalu, kini kenderaan itu dikesan yang melakukan ujian di jalan raya di Malaysia.
Nampaknya, Honda City yang ada dipasaran kini boleh dikatakan dihujung ‘hayatnya’.
Biarpun ia penuh dengan pelekat penyamaran, bampar belakang bahagian sisi mempunyai rekaan terkeluar sedikit seolah-olah laluan angin untuk menyakinkan ia adalah Honda City 2020.
Jika ia diuji di negara ini, kebarangkalian untuk memasuki pastinya cerah dan difahamkan juga Honda City 2020 itu bakal dilancarkan pada hujung tahun.
Apa yang membezakannya, model kereta segmen B itu tampil dengan reka bentuk baharu yang lebih sporty dan ruang dalamannya lebih premium serta eksklusif.
Penampilan luaran Honda City itu hadir dengan inspirasi daripada Honda Insight, seperti lampu utama yang nipis, lampu nyalaan siang LED dan rekaan jeriji Solid Wing.
Dimensi kenderaan itu turut berubah dengan panjang keseluruhan 4553mm (+113mm), lebar 1748mm (+53mm) namun ketinggiannya dikurangkan menjadi 1467mm (-10), manakala jarak roda kepada 2589mm (-11mm).
Selain penampilan baharu, model berkenaan akan dilahirkan dengan enjin berkuasa turbo. Cuma kuasa turbo itu adalah bagi meningkatkan prestasinya selepas menggunakan enjin lebih kecil iaitu berkapasiti 1 liter dengan tiga silinder.
Biarpun enjin kecil, prestasinya hampir sama dengan rangkaian kuasa 1.5 liter apabila mampu menyalurkan 118hp dan tork setinggi 200Nm. Pastinya, enjin itu memberi penjimatan bahan api serta tawar prestasi lebih mengagumkan.
Kuasa maksimumnya meningkatkan 2hp dan tork naik kepada 28Nm dengan bukaan pada rpm lebih rendah.
Enjin versi turbo boleh dikatakan lebih pantas pada peringkat awal pemanduan kerana bukaan rpm lebih awal berbanding enjin NA.
Namun, tanggapan itu adalah berdasarkan di atas 'kertas' dengan data yang diperoleh, realitinya tunggu sehingga kami diberi peluang untuk memandunya nanti.
Di Thailand, Honda City serba baharu itu ditawarkan dengan empat varian utama membabitkan:
- 1.0 TURBO S CVT
- 1.0 TURBO V CVT
- 1.0 TURBO SV CVT
- 1.0 TURBO RS CVT
Sumber Gambar: Facebook Ajerul.
Must-Watch Video