Pandu Uji
Honda City RS - Kami Dah Pandu, Memang Betul Power Dan Sah Ada Honda Sensing Lagi!
Ogos lalu, penulis berpeluang melihat sendiri Honda City Serba Baharu menerusi versi paling tinggi dalam keluarga segmen B iaitu varian RS.
Apa yang dimaksudkan RS, ia adalah singkatan bagi perkataan Road Sailing. Varian ini adalah model paling ‘hero’ dalam keluarga City, kerana penampilan yang sporty, penuh dengan teknologi keselamatan dan paling penting mempunyai enjin berprestasi.
Yang anda perlu tahu, City serba baharu itu tidak didatangkan dengan enjin 1.0 turbo untuk pasaran Malaysia buat masa ini seperti Thailand.
Advertisement
Biarpun tidak menggunakan enjin 1.0 turbo, rangkaian kuasa 1.5L i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) yang ada pada City RS ini sebenarnya lebih bagus dengan mempunyai tork 253Nm. Ini bermakna, ia boleh dikatakan sedan segman B buatan Jepun yang mempunyai tork paling tinggi di Malaysia.
Enjin e-HEV pada City RS, mempunyai kuasa maksimum 107hp dengan menggunakan transmisi CVT elektrik. Ia juga kini kembali kepada sistem DOHC berbanding sebelumnya adalah SOHC.
Bagi menguji betul sama ada City RS ini betul-betul ‘power’, penulis di jemput Honda Malaysia Sdn Bhd ke Melaka International Motorsport Circuit (MIMC). Biarpun pandu uji yang ringkas, City RS ini ada kelebihan untuk memberi saingan sengit pada model segmen B yang lain.
Di sana, ada juga model lain untuk dijadikan perbandingannya. Persaingan paling sengit dengan City RS adalah City Hybrid generasi sebelum ini.
Prestasi
Bagi penulis, City Hybrid dengan kuasa tork 170Nm sebenarnya sudah cukup laju dan membuatkan kenderaan rasa ringan untuk memecut.
Namun sebaik menguji City RS, City Hybrid itu ternyata tidak cukup laju dan tangkas selepas menekan pedal minyak sepenuhnya. Sebaik menekan padel minyak sepenuhnya, kuasanya boleh dirasai sangat lebih berbanding City Hybrid.
City RS rasa ringan dan penulis juga lebih yakin untuk mengawalnya. Ini kerana kuasa pada awal permulaan yang diberikan itu tidak terlalu 'mengejut' dan pada masa sama, penulis rasa seolah-olah memandu kereta yang lebih separuh kurang beban muatannya. Ia memang terasa ringan!
Pengendalian
Ini satu lagi membuatkan penulis jatuh hati dengan City RS. Biarpun rasa lebih ringan, pengendalian jentera ini rasa stabil ketika berada di selekoh.
Jentera ini rasa kurang membuai atau membuang apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi berbanding City Hybrid.
Apa yang membuatkan City generasi baharu ini lebih stabil? Ini kerana proses pemasangannya berbeza dengan generasi sebelumnya.
Dalam pemasangan City generasi baharu ini, ada lagi satu proses tambahan yang dipanggil Inner Frame. Proses ini, kerangka sisi dalaman dan bawah dicantum terlebih dahulu sebelum mencantumkan kerangka lain.
Proses tambahan itu bertujuan untuk memberi lebih ketegaran kepada kerangka, sekali gus mampu membuatkan pengendalian kenderaan lebih stabil.
Dari segi kuasa hentiannya pula, City RS ini mempunyai keempat-empat cakera brek. Ini sudah bagus!
NVH (Noise, Vibration And Harshness)
Pada mulanya, penulis agak terkejut dengan kedapan bunyi dalam ruang kabin City RS ini. Ia memang berbeza dengan City Hybrid generasi sebelumnya dalam sesi pandu uji ini.
Jika dalam kabin City Hybrid, penulis boleh dengar bunyi enjin yang memasuki ke dalam ruang dalaman. Bagaimanapun, sebaik memandu City RS bunyi bising itu seperti hilang. Cuma kedengaran bunyi tayar yang memberi cengkaman ketika penulis mengawal di selekoh.
Pengurangan bunyi ini berpunca satu lagi proses penambahbaikan dalam proses pemasangan City generasi baharu. City generasi baharu ini juga sebenarnya 33 peratus lebih kurang NVH berbanding model sebelum ini.
Kekurangan NVH itu dihasilkan dengan penggunaan Spray Form yang diletak pada bahagian bawah kerangka sisi iaitu dua di antara tiang pintu tengah dan satu di hadapan.
Ciri Keselamatan
Akhirnya Honda Malaysia mengesahkan bahawa City RS ini dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju mereka iaitu Honda LaneWatch dan Honda Sensing.
Ini adalah model sedan segmen B yang mendahului dengan ciri keselamatan dalam kategorinya di Malaysia.
Sebelum ini, ciri-ciri itu hanya terdapat pada model lebih mahal bagi jenama Honda di Malaysia seperti Accord, CR-V, Civic dan HR-V.
Honda Sensing bagi model City RS ini mempunyai 7 ciri membabitkan:
- Collision Mitigation Braking System (CMBS)
- Forward Collision warning (FCW) - Boleh mengesan pejalan kaki dan basikal
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Road Departure Mitigation (RDM)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Lane Keep Assist System (LKAS)
- Auto High-Beam
Kesimpulan
Bagaimana pula dalam ruang dalamannya? Berhubung itu kami akan jelaskan kepada anda dalam artikel pada majlis pelancarannya yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Apa yang boleh penulis katakan, City RS ini sebuah sedan segmen B yang mendahului dalam kelasnya dari segala prestasi dan ciri keselamatan.
Must-Watch Video