Varian Type-R paling ekstrem keluaran Honda, Civic Type R Edisi Terhad berjaya mencipta rekod lap baharu dengan catatan masa 2 minit 23.993 saat untuk pacuan roda depan di Litar Suzuka, Jepun.

Honda Civic Type R Edisi Terhad mampu menempah rekod itu kerana sarat dengan komponen ringan, naik taraf sistem suspensi dan pengemudian dan reka bentuk kabin membantu pemandu mendapat fokus diperlukan.


Litar Suzuka sepanjang 5.8 kilometer terkenal dengan laluan pecutan tinggi berselekoh dan beberapa selekoh tajam dengan rekabentuk keseluruhan litar yang kelihatan seperti 'angka nombor lapan kemik'.


Selain tersenarai dalam kalendar F1, litar ini juga menjadi medan Honda menguji kenderaan berprestasi dan enjin sejak 1962. Menariknya, litar ini dibina mengikut arahan pengasas syarikat dan presiden, Soichiro Honda.


Rekod itu dicipta menggunakan seunit kereta Type R Limited Edition yang masih pembangunan (pada ketika itu) semasa sesi penilaian prestasi terakhir pada Februari lalu.


Kereta yang dibangunkan itu berkongsi spesifikasi teknikal sama seperti produk veris keluaran kilang dengan tiada modifikasi atau kerja-kerja peningkatan prestasi. Honda Type R Edisi Terhad ini sedang dijual di serata Eropah.


Ketua Projek Civic Type R, Hideki Kakinuma berkata, Type R Edisi Terhad mencerminkan kesungguhan Honda dalam memperhalusi sifat asal dan keseronokan pemanduan Type R sebagai sebuah kereta sport dan melangkau jangkaan pelanggan.


"Pasukan jurutera dan saya mendokong semangat perlumbaan yang diwarisi dari satu generasi kepada generasi lain, serta kesungguhan inilah memacu evolusi Civic Type R menjadi kereta sport ideal.


"Untuk model dipertingkat ini, kelajuan adalah antara perkara diutamakan menerusi kerjasama dengan Honda Racing Development (HRD) Sakura, yang memainkan peranan penting dalan pembangunan sukan bermotor Honda. Kerjasama ini membawa kepada penghasilan Type R3 paling pantas pusingan rekod lap di Litar Suzuka,” katanya.

Model Edisi Terhad masih menggunakan enjin paling berkuasa Type R iaitu jenis 2.0 litre VTEC Turbo dengan output kuasa puncak 320PS pada 6,500rpm dan tork setinggi 400Nm dari 2,500rpm hingga 4,500rpm. Pecutan daripada titik pegun ke 100 kilometer sejam hanya mengambil masa 5.7 saat.