Pandu Uji
Honda HR-V Sport Hybrid i-DCD - Jentera Hibrid Yang Memiliki Kuasa Lebih Bagus
Rata-rata ramai yang sudah tahu kewujudan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) kompak, Honda HR-V di negara ini.
Ia sebuah kenderaan yang sangat sesuai untuk golongan bujang atau sudah berkeluarga dengan bilangan anak kurang daripada tiga orang.
Kawan penulis pun ada memilikinya, tetapi kenderaan itu dipandu isterinya untuk berulang-alik ke pejabat. Dia mengganggap, kenderaan yang tinggi lebih sesuai untuk golongan wanita, berikutan memberi pemandangan jelas di jalan raya serta rasa selamat.
Selain daripada ciri itu, sebenar ada lagi perkara yang penting untuk penulis kongsikan berhubung Honda HR-V ini lebih-lebih lagi bagi versi hibrid.
Bagi penulis, Honda HR-V Sport Hybrid i-DCD adalah satu kenderaan yang memiliki pakej lebih baik termasuk jimat minyak, serta pada masa sama memiliki prestasi lebih mantap berbanding enjin biasa.
Jadi kalau dah ada nama Sport itu, sudah pasti prestasinya lebih berbanding versi biasa. Betul tak?
Bagaimana prestasinya?
Ia adalah SUV kompak paling berkuasa dalam keluarga HR-V dan Malaysia adalah negara pertama yang ditawarkan untuk memasarkan model itu di luar pasaran Jepun.
Sepanjang memandu dalam tempoh beberapa hari, penulis boleh katakan kereta ini rasa ringan dan tidak rasa berat selepas menekan pedal minyaknya, biarpun ia menggunakan enjin berkapasiti kecil.
Untuk pengetahuan anda, rangkaian kuasa ini mampu menyalurkan output menyamai enjin 2.0 liter. Ia dijana dengan gabungan enjin 1.5L DOHC i-VTEC serta motor elektrik yang menggunakan tenaga daripada bateri Lithium-Ion berkuasa tinggi.
Apabila kuasa enjin dan motor elektrik bergabung, output yang dicatatkan mencecah 152PS dengan tork setinggi 190Nm.
Kuasa daripada rangkaian kuasa itu disalurkan ke transmisi klac berkembar tujuh kelajuan automatic dengan High-Power Elektrik Motor. Untuk prestasi yang lebih padu, tukar kepada mod Sport dengan menekan butang di konsul tengah.
Jika mahu prestasi yang lebih, ia juga menawarkan mod Sport dengan hanya menekan butang berhampiran konsul tengah.
Macam mana nak bezakan versi hibrid dengan biasa?
Ramai tanya soalan ini. Dari segi luaran, tidak ada beza pun dengan varian enjin konvensional, cuma perbezaaan adalah ia mempunyai lencana hibrid sahaja.
Model hibrid itu mempunyai spesifikasi seperti varian E yang dilengkapi ciri lampu utama halogen, lampu kabus serta dilengkapi dengan rim 17 inci.
Di belakangnya pula, ia menggunakan lampu LED dan mempunyai lencana Hybrid pada bahagian sisinya.
Ruang Dalaman?
Seperti varian E, HR-V hibrid ini mempunyai ruangan dalaman hitam dengan gabungan kerusi menggunakan material kulit serta fabrik. Selain mempunyai sistem audio 6.8 inci skrin sesentuh. Bagaimanapun, ia berbeza sedikit apabila dilengkapi tombol gear kecil dengan fungsi Shift By Wire yang direka khas untuk kenderaan hibrid jenama Honda.
Biarpun tombol itu kelihatan ringkas, ia memberi keselesaan dimana ia tidak memerlukan banyak tenaga untuk menukar gear seperti sistem konvensional.
Seperti model Jazz, SUV kompak ini mempunyai ciri ‘kerusi magik’ yang mana kerusi barisan kedua boleh diangkat memudahkan mengisi barang. Pada masa sama, ruang but juga masih luas apabila kerusi barisan kedua diturunkan secara mendatar yang boleh mencecah keluasan 404 liter.
Cuma ruang but belakang itu tidak mempunyai tayar simpanan kerana ia digantikan dengan bateri lithium-ion. Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana ia mempunyai kit sekiranya tayar berlaku kebocoran.
Perbezaan lain pada varian ini adalah 3D Illuminated Meter Cluster Multi Information Display yang menyalurkan pelbagai maklumat berhubung aliran tenaga kenderaan, tahap penggunaan bahan api dan banyak lagi.
Kesimpulan
Sepanjang beberapa hari memandu jentera ini, penulis boleh katakan tahap penggunaan apinya cukup menjimatkan, tetapi kuasa yang dibekalkan sangat mengagumkan berbanding HR-V menggunakan enjin 1.8 liter.
Sebagai tambahan, kenderaan itu ditawarkan dengan lima tahun waranti tanpa jarak perbatuan. Pada masa sama, bateri lithium-ion itu juga mempunyai waranti lapan tahun tanpa jarak perbatuan.
Harga
Honda HR-V Sport Hybrid i-DCD ini dijual pada harga RM120,460, ia mahal sedikit hampir RM2,000 berbanding varian varian V.
Must-Watch Video