Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Honda Jazz 2020 Kini Ada 10 Beg Udara, Terbaharu Di Perehat Kepala Kerusi Pemandu

Erywan
09/05/2020 04:29 MYT
Honda Jazz generasi baharu dipasang beg udara di antara kedua-dua kerusi barisan hadapan sebagai satu usaha menghalang kecederaan kepala jika berlaku rempuhan dari arah sisi kereta kompak itu.

Honda memanggil ciri keselamatan tambahan itu sebagai beg udara hadapan-tengah, walaupun ia kelihatan lebih sesuai digelar beg udara tepi-tengah.



Menurut laporan sistem keselamatan beg udara itu dipasang pada perehat kepala kerusi pemandu dan sedia untuk berkembang di zon antara pemandu dan penumpang hadapan.

Jika berlaku pelanggaran dari arah tepi sama ada membabitkan kenderaan lain atau terlanggar pokok, beg udara ini akan berkembang melindungi kepala pemandu supaya tidak terlanggar pula kepala penumpang di kerusi hadapan. Ia juga untuk mengurangkan impak akibat pelanggaran.



Tiga tali pengikat digunakan untuk memastikan beg udara ini berkembang mengikut posisi paling optimum. Selain itu, penegang tali pinggang keledar dan perehat tangan yang sudah ditinggikan membantu mengurangkan pergerakan pemandu ke arah sisi jika berlaku pelanggaran.

Sebagai tambahan, Honda Jazz juga mendapat satu lagi beg udara baharu. Ia dipanggil i-side airbag di kabin bahagian belakang. Andai berlaku kemalangan dari arah tepi, beg ini melindungi penumpang belakang dengan pintu dan tiang C.



Langkah menambah beg udara Honda adalah untuk keselamatan penumpang dan membolehkan Jazz lebih bersedia untuk ujian rempuhan EuroNCAP yang semakin ketat. Bagi tahun ini, syarat baharu membabitkan rempuhan tepi sudah diperkenalkan. Impak rempuhan tepi kini diambil kira dalam ujian EuroNCAP buat julung kalinya.

Jadi tambahan beg udara baharu ini membolehkan Honda Jazz mempunyai tidak kurang daripada 10 beg udara dalam kabinnya. Model ini membabitkan model untuk Eropah sahaja setakat ini. Secara jujur, adalah wajar ia dijadikan ciri standard untuk produksi Jazz di semua pasaran. Orang Asia juga ada kepala untuk dilindungi.


;