Honda Malaysia memperluaskan rangkaian pusat body and paint (BP) atau badan dan cat mereka di cawangan pengedar dan jualan.

Pada 2019, Honda menambah 6 pusat BP baharu, menjadikan jumlah kesemuanya 28 setakat ini.

Penambahan pusat body and paint itu adalah selaras dengan komitmen syarikat untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelanggan dalam satu pusat sehenti.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pihaknya berusaha memberikan lebih banyak kemudahan selepas jualan kepada pelanggan dengan memperluaskan pusat BP.

“Sehingga kini, kami mempunyai 28 BP Pusat yang beroperasi. Kami percaya pengembangan Pusat BP akan membantu Honda Malaysia mencapai peningkatan permintaan serta menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti tinggi kepada pelanggan.

“Semua pusat BP kami dilengkapi dengan kemudahan dan kelengkapan yang lebih baik,” katanya.

Honda juga menyediakan produk berkualiti di pusat-pusat BP mereka. Antaranya adalah cat Waterborne, iaitu produk hijau selain alat-ganti tulen Honda yang disahkan oleh Honda Motor Co Ltd.

Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, Honda Malaysia sudah merekodkan purata peningkatan jualan, kira-kira 30 peratus dari 2014 hingga 2018.

Ini juga bermakna peningkatan servis selepas jualan. Sehingga Oktober 2019, Honda mencatatkan 36,000 kemasukan BP, peningkatan sebanyak 40 peratus untuk tempoh sama tahun lalu.