Pelanggan Honda di Bintulu, Sarawak kini boleh menikmati kemudahan Pusat 3S Honda yang dikendalikan oleh Kemena Auto Sdn Bhd.

Pusat 3S yang terletak di bahagian tengah Sarawak itu menjadi hala tuju strategi Honda Malaysia pada tahun ini bagi menguatkan lagi rangkaian pengedar di seluruh negara.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama
berkata, Malaysia Timur adalah kawasan sedang membangunkan dan ini boleh menjadi peluang yang terbaik untuk menjadi pasaran terpenting buat Honda Malaysia.

Menurutnya, buat masa ini, sudah ada 13 pengedar di Malaysia Timur yang mana tujuh daripadanya terletak di Sarawak.

“Sebagai pengedar tunggal di Bintulu, kami yakin Kemena Auto bakal menyediakan perkhidmatan terbaik dari segi jualan dan servis selepas jualan kepada pelanggan di kawasan berkenaan,” katanya.

Pembinaan Pusat 3S Honda itu menelan belanja RM11 juta dengan mempunyai kelengkapan terkini mengikut standard Honda.


Kemudahan itu mempunyai 10 ruang yang boleh melakukan servis sebanyak 40 kenderaan sehari, selain dilengkapi ruang menunggu, Wi-Fi percuma, ruang kanak-kanak dan surau.

Berhubung prestasi jualan Honda Malaysia, lebih daripada 38,800 kenderaan yang didaftarkan pada Mei lalu.

Dengan prestasi jualan yang menggalakkan itu, Honda Malaysia kekal sebagai jenama nombor satu dalam segmen bukan nasional dan tempat kedua dalam TIV pada bulan lalu.

Secara keseluruhan pendaftaran kenderaan, Honda City menyumbang paling tinggi dengan 33 peratus, diikuti HR-V (21 peratus) dan CR-V (14 peratus).