Honda Malaysia berkolaborasi dengan SOCAR Mobility Malaysia Sdn Bhd dengan menyediakan 50 unit Honda City kepada petugas barisan hadapan yang juga pemilik kenderaan Honda.

Program itu adalah inisiatif bagi memberi kemudahan kepada pelanggan Honda (petugas di barisan hadapan) yang tidak dapat menggunakan kenderaan mereka pada masa yang sukar ini.

Kolaborasi itu dilaksanakan dengan menyediakan satu platform perkongsian kereta untuk pengangkutan kepada petugas barisan hadapan dalam tempoh sebulan.

Honda Malaysia menghargai semangat berani dan pengorbanan diri yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan, dan ingin memberikan sokongan moral kepada mereka dengan menyediakan kemudahan perjalanan dari rumah ke tempat kerja.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, beberapa minggu kebelakangan ini tidak mudah bagi masyarakat kita, terutama barisan hadapan yang berusaha tanpa lelah untuk melindungi Malaysia dari wabak itu.

Menurutnya, biarpun terpaksa menahan tekanan yang ditanggung dengan situasi sekarang, dedikasi dan pengorbanan mereka menerima penghormatan dari masyarakat di Malaysia serta mendapat pengiktirafan di seluruh dunia.

“Bagi pihak Honda Malaysia, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan, pertempuran menentang COVID-19 akan menjadi lebih sukar tanpa kegigihan mereka.

“Inisiatif dengan SOCAR ini adalah untuk membantu petugas barisan hadapan dimana kereta Honda mereka tidak berfungsi pada masa ini dengan menjadikan City sebagai pengangkutan sementara mereka,” katanya.

Honda Malaysia komited untuk membantu pelanggan Honda (petugas di barisan hadapan) yang terjejas. Menerusi program ini, Honda Malaysia akan menanggung bayaran sewa berkenaan.

Pelanggan Honda yang terbabit di barisan hadapan boleh melayari laman web rasmi Honda Malaysia menerusi www.honda.com.my/customer_service/enquiry untuk maklumat lebih lanjut mengenai program ini.