Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Honda Malaysia Panggil Balik Sejumlah 2,784 Kenderaan

Erywan
26/11/2020 04:12 MYT
Honda Malaysia mengumumkan 2,784 unit dipanggil balik untuk menggantikan inflator beg udara depan Takata sebagai langkah pencegahan, sejajar dengan Honda Airbag Inflator Driver Non-Azide global ( NADI).

Ia membabitkan dua model iaitu model Accord keluaran 1999 sebanyak 1,380, manakala 1,404 bagi CR-V buatan 2000. Bagaimanapun, Honda Malaysia yakin bahawa model penjualan semasa tidak terpengaruh dalam panggil balik.

Panggil balik kenderaan itu sebagai langkah pencegahan untuk mengatasi kemungkinan inflator beg udara depan pemandu Takata mengalami tekanan dalaman yang berlebihan dan dengan itu, menyebabkan beg udara gagal berfungsi dengan baik atau pecah.

Sehingga hari ini, tiada laporan mengenai kejadian atau kecederaan di Malaysia yang disebabkan oleh beg udara depan pemandu Takata pada kedua-dua model itu. Pelanggan yang terbabit akan diberitahu melalui surat pemberitahuan, yang akan merangkumi perincian penarikan balik produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji selepas menerima surat pemberitahuan untuk menggantikan inflator beg udara depan pemandu, tertakluk pada ketersediaan komponen.

Pada masa sama, Honda Malaysia menyeru orang ramai yang mempunyai saudara-mara atau rakan-rakan memiliki kedua-dua model terbabit untuk segera menghubungi Honda Malaysia untuk mengatur penggantian beg udara depan pemandu.

Penggantian inflator beg depan Takata yang terjejas adalah percuma dan semua kos yang berkaitan akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok pengganti akan tersedia secara berperingkat.

Pelanggan yang memiliki kenderaan model itu, tetapi tidak pasti jika kenderaan mereka terjejas, boleh menghubungi nombor Bebas Tol Honda di 1-800-88-2020 atau log masuk ke www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my untuk memeriksa status kenderaan anda.

#honda
;