Antarabangsa
Honda S2000 Muncul Tahun 2024?
Khabar tentang kedatangan model sport Honda banyak kali diperkatakan sebelum ini, namun sehingga kini kemunculan model terbabit masih tidak kelihatan.
Kali ini, gosip tentang kelahiran kereta itu bermain lagi dan subjeknya adalah Honda S2000. Kereta sport bumbung terbuka Honda terbabit muncul pertama kali tahun 1999 sehingga 2009 dan selepas itu tidak ada generasi baharu.
Menurut berita dari Forbes, seorang sumber yang dekat dengan Honda mendakwa bahawa pasukan pemasaran Honda sedang mempertimbangkan secara serius membangunkan semula Honda S2000 baharu dalam tiga tahun akan datang. Kemungkinan model itu bakal siap pada 2024.
Kenapa 2024? Adakah kerana pada tahun itu adalah ulang tahun Honda ke-75 jadi sesuai untuk mereka mengeluarkan kereta istimewa sempena meraikan ulang tahun jenama itu. Honda juga sempat mempamerkan Honda S2000 versi 20th Anniversary Concept di Tokyo Auto Salon awal tahun ini.
Honda S2000 baharu yang belum diketahui bilakah kemunculannya difahamkan mempunyai ukuran mirip dengan yang lama. Material yang bakal digunakan antaranya aluminium dan gentian karbon supaya lebih ringan dan sasaran Honda tidak lebih dari 1.5 tan.
Soal enjin pula, ia dikatakan bakal menggunakan janakuasa hibrid atau elektrik penuh bagi enjin 2,000cc 4 silinder VTEC turbo berkod K20C1 dari Honda Civic Type R yang dimodifikasi.
Jika Civic boleh menghasilkan kuasa 320hp, sasaran Honda pada S2000 adalah 350hp. Meskipun enjinnya boleh digunakan, transmisi Civic Type R dengan pacuan FWD tidak boleh dipakai ke S2000 yang RWD, kerana penempatan mesinnya berbeza kedudukan.
Ini kerana tidak ada satu pun kereta Honda yang menggunakan RWD sekarang ini, jadi mereka perlu menghasilkan transmisi baharu.
Jika semua angka ini benar dan Honda S2000 baharu ini sungguh terwujud, ia akan menemani kereta-kereta sport Jepun lainnya seperti Toyota GR Supra dan Nissan Fairlady 400Z, membuktikan bahawa kereta sport Jepun belum mati.