Antarabangsa
Honda Tutup Kilang Kereta Di Argentina Akibat Pasaran Semakin Kecil
Honda akhirnya menutup suis kilang di Argentina selepas menghasilkan unit terakhir kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V di kilangnya dekat Campana.
Honda HR-V terakhir itu berwarna putih dengan jalur biru lembut pada badannya serta logo matahari, mencerminkan identiti bendera Argentina.
Operasi pengeluaran kereta jenama Jepun itu sudah tamat dan kini Honda mahu fokus bisnes produksi terhadap produk motosikal di Argentina.
Pada 14 Mei lalu, Honda menjadi kilang pertama dibenarkan operasi selepas perintah kuarantin di Argentina dan, pengurusan memilih untuk menghentikan pengeluaran.
Langkah itu tidak berkait wabak Covid-19, tetapi sudah diputuskan sejak tahun lalu. Jurucakap syarikat Honda pernah menyatakan sukar untuk mengekalkan untung bisnes di Argentina kerana kejatuhan mata wang serta pasaran semakin mengecil.
Pada 2018, Honda Argentina cuma menghasilkan kira-kira 10,000 unit HR-V dan sekitar 100,000 motosikal di Campana, Buenos Aires.
Kilang Honda di Campana dirasmikan pada 2011 dan sepanjang tempoh enam tahun, ia mengeluarkan model City. Kini, City dihasilkan di Brazil dan tidak lagi dipasarkan di Argentina.
Pada 2015 hingga 2020, kilang sama mengeluarkan HR-V dan kini, model ini akan diimport dari Mexico ke Argentina. Pengeluaran motosikal Honda pula dipindahkan ke Campana selepas syarikat menutup kilang di Florencio Varela pada April 2016.
Nasib kakitangan Honda di Argentina pun sama iaitu mengikut operasi pengecilan perniagaan. Seramai 500 petugsa mengambil skim pemisahan sukarela dan dianggarkan sembilan pusat pengedar akan tutup di seluruh negara.
Honda Argentina akan meneruskan jualan dengan mengimport beberapa model dari Brazil iaitu WR-V, Fit dan Civic. Honda Accord, Pilot dan CR-V pula dibawa dari Amerika Syarikat.
Sumber: Autoblog Argentina