Honda memperkenalkan skuter SH125i generasi baharu di Sepanyol, lebih berkuasa dan cekap penggunaan minyak petrol berbanding model sebelum ini.



Skuter siri SH sebenarnya cukup popular di Eropah, mencatat lebih satu juta unit dijual sejak tahun 1984. Bermula tahun 2001, Honda SH didatangkan dengan enjin 4-lejang.



Honda SH ialah skuter paling laris selama lapan tahun di Sepanyol, menduduki tiga tangga teratas (Top 3) di Eropah sepanjang 17 tahun berturut-turut. SH125i kini dipasang di kilang Honda di Atessa, Itali.



Skuter ini menggunakan rangkaian kuasa eSP + baharu, menghasilkan lebih banyak kuasa, tork, efisien bahan api dan lebih senyap. Honda SH125i kini patuh piawaian Euro 5.



Kuasa maksimum SH125i (2020) ialah 9.6kW pada 8,250rpm dan tork 12Nm @ 6,500rpm. Model generasi sebelum ini menawarkan kuasa dan tork masing-masing 8.9kW pada 8,500rpm dan 11.5Nm pada 7,000rpm.



SH125i lebih jimat penggunaan minyak petrol dengan adanya ciri Idle Stop. Ciri ini diaktifkan dengan menekan butang pada bahagian kanan hendal, secara automatik mematikan enjin apabila skuter berhenti selama tiga saat. Apabila pendikit minyak dipulas, enjin kembali hidup.



Honda turut menjadikan fungsi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sebagai ciri standard dengan kawalan tork HSTC (Honda Selectable Torque Control). Teknologi ini membantu meningkatkan keyakinan penunggang khususnya semasa cuaca hujan atau permukaan lemah cengkaman tayar.



HSTC membantu mengawal daya cengkaman pada roda belakang dan menggelakan tayar berpusing hingga hilang traksi atas permukaan. Sistem ini boleh dimatikan jika mahu.



Casis skuter ini direka semula untuk memperoleh lebih banyak ruang untuk simpanan barangan iaitu peningkatan 10 liter berbanding model sebelum ini. Ini bermaksud SH125i edisi 2020 ada ruang kargo sebesar 28 liter berbanding 18 liter sebelum ini.



Satu port pengecas USB ditambah pada skuter ini dan ia juga mempunyai tangki minyak berkapasiti 7 liter. Ciri lain termasuk panel meter LCD, talaan semula suspensi belakang, lampu belakang LED dan sistem kunci pintar. Skuter ini akan ditawarkan bermula Mei ini.



Harga skuter dengan kotak simpanan manual ialah 3,800 Euro (RM18,117). Bagi varian dengan kotak simpanan pintar yang dapat dibuka menggunakan kunci pintar, ia berharga 3,990 Euro (RM19,023).