Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Honda Winner X tayar besar pertama di Malaysia

Erywan
23/12/2019 03:57 MYT
Akibat terlalu lama untuk menunggu kehadiran Honda Winner X, ada pemilik Honda RS150R di Malaysia sanggup membeli set lengkap atau ‘cover set’ jentera itu dari Vietnam.

Ia bukannya murah, tetapi boleh mencecah ribuan ringgit untuk tiba di Malaysia termasuk bayaran cukai yang terpaksa dibayar untuk memiliki set Winner X itu.

Harga yang dibayar itu juga bukannya juga hanya set luaran, tetapi termasuk sistem wayar elektronik, meter kelajuan dan lampu LED.

Bagi ‘Geng tayar besar’ pula, keunikan untuk menghasilkan motosikal adalah keutamaan mereka. Jadi pemilik Honda RS150R yang anda lihat ini, mahu membuat kelainan buat jenteranya.

Jentera yang anda lihat ini, ditukar dengan set lengkap Honda Winner X yang dibeli dari Vietnam itu dengan harga mencecah sehingga RM3,000.

Malah, set itu diceriakan dengan cat semburan angin yang dihiasi jentera lumba yang ditunggang mendiang Nicky Hayden dengan pasukan Red Bull Honda. Ia juga sebagai satu penghormatan kepada penunggang itu selepas meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Honda RS150R milik Mohd Khairi Yaakub, 40, itu penampilannya sangat menarik selepas menggunakan ‘cover set’ Honda Winner X itu dengan semburan angin sentuhan IilusArt Auto Design.

Hasil ubah suai Honda RS150R itu boleh dianggap cukup mantap dan kemas dengan padanan beberapa komponen yang mahal serta sukar diperoleh.

Menariknya, sistem suspensi hadapan dipertingkatkan dengan fork terbalik Yamaha YZF-R1 yang turut dipadankan brek berkembar bersaiz besar daripada komponen motosikal terbabit.

Fork itu perlu dibuat beberapa ubah suai supaya boleh digunakan pada jentera berkenaan, selain dilengkapi rim Honda VFR 400 yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Supercorsa.

Pada bahagian belakang pula, masih menggunakan sistem suspensi asal cuma dipadan dengan lengan ayun jenis tunggal daripada model Honda NSR 150SP.

Rim belakang turut menggunakan komponen Honda VFR 400 yang boleh dianggap ‘rare’ dan sukar untuk diperoleh serta dibaluti tayar Pirelli Diablo Supercorsa.

Bahagian suspensi belakang sahaja, pelaburan hampir RM4,000 digunakan kerana kerja ubah suai sangat rumit dan memerlukan kemahiran pakar.

Selain itu, kuasa hentian diperkuatkan dengan brek Brembo 19 RCS tulen, selain dilengkapi pelindung tuil dan tangki pelincir brek jenama LightTech.

Sentuhan kepada bahagian enjin, ia masih lagi standard tetapi dipertingkatkan dengan Unit Kawalan Elektronik (ECU) Tune Boss yang sudah ditala semula. Sebelum ini, kuasa maksimum hanya 15hp dan kini meningkat kepada 16.4hp.

Sistem ekzos dibina khas tampak sangat kemas dan menarik cara kimpalannya, selain dipadankan peredam SC-Project.

Ternyata bunyi yang keluar daripada sistem ekzos itu boleh dianggap bingit, tetapi cukup padu selepas menerima sentuhan tangan Pok Lie atau turut dikenali sebagai Wan Sinchan Bler.

Ketika ditanya berapa kos untuk mengubahsuai itu, Mohd Khairi memaklumkan bahawa hampir RM30,000 sudah dilaburkan untuk menyiapkan jentera berkenaan.

Katanya, dia mahu mengucap terima kasih kepada rakannya terutama komuniti Yuzy Racing Fans Club yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk membina motosikal berkenaan.

“Selain itu, mekanik saya iaitu Ejam daripada Zizi Motor Maxx adalah orang penting dalam membina motosikal ini,” katanya ketika ditemui.