Antarabangsa
Honda X-ADV 150 lancar di Indonesia dengan harga bermula RM9,899
Sempena acara Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS), Honda melancarkan skuter adventure berseseran lebih kecil menerusi model X-ADV 150.
Honda X-ADV 150 adalah satu-satunya model dalam segmennya yang mana ia hadir daripada inspirasi daripada X-ADV 750cc.
Dari segi reka bentuknya, ia boleh dikatakan ‘copy and paste’ dengan X-ADV 750cc membabitkan tempat letak kaki, imej hadapan dan banyak lagi.
Pada masa sama, jentera dua roda itu dilengkapi pelindung angin boleh laras serta ruang penyimpan yang cukup besar di bawah tempat duduk.
Suspensinya pula, bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik, manakala dua penyerap hentak Showa bagi belakang.
Uniknya, skuter adventure itu dilengkapi rim berbeza apabila di hadapan padanan 14 inci dan belakang 13 inci, selain menggunakan tayar dual-purpose.
Honda ADV150 menggunakan enjin bersesaran 150cc dengan sejukan cecair yang menyalurkan 14.4hp dengan tork mencecah 13.2Nm. Tahap penggunaan bahan api boleh mencecah 46.6 km bagi setiap liter. Ia boleh ditunggang sejauh 373km bagi isian penuh.
Bagi kemudahan pengendalian, ia dilengkapi panel meter digital penuh yang memaparkan pelbagai maklumat membabitkan suhu luaran, tahap penggunaan bahan api, waktu dan tarikh, serta jarak perjalanan.
Jarak antara badan dengan permukaan tanah mencecah 165mm sekali gus membuat skuter itu mudah merentasi jalan pelbagai keadaan.
Rekaan suspensi hadapan dipadankan cakera brek wavy bersaiz 240mm dan 220mm pada roda belakang untuk memberi cengkaman brek terbaik, selain tampak sporty.
Bagi pasaran Indonesia, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu ABS dan CBS yang didatangkan enam pilihan warna. Harga bagi varian ABS adalah Rp 36.5 juta (RM10,786), manakala Rp 33.5 juta (RM9,899) untuk CBS.Kalau di Malaysia, berapa pula harganya. Sudah pasti harganya lebih mahal!
Must-Watch Video