Antarabangsa
Honda X-ADV 2021 Setiap Panel Badan Direka Semula Beri Penampilan Tajam Dan Langsing
Selain CB1000R, Honda mengemaskini beberapa model yang lain termasuk X-ADV. Untuk tahun 2021, skuter pengembaraan itu bukan sahaja hadir dengan penampilan segar dan enjin lebih berkuasa, malah ia juga mempunyai casis yang lebih ringan berbanding sebelum ini.
Menurut pengeluar motosikal dari Jepun itu, setiap panel badan X-ADV direka semula bagi memberikan penampilan yang lebih tajam dan langsing. Begitu juga dengan lampu utama berkembarnya, yang kini dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL).
Model ini juga dilengkapi dengan tempat duduk yang lebih sempit supaya lebih mudah dinaiki. Ketingian penghadang angin baharu boleh dilaraskan dalam lima posisi, dengan perbezaan sebanyak 139mm dari titik paling rendah ke titik paling tinggi.
Seperti CB1000R, X-ADV turut mendapat sistem Honda Smartphone Voice Control (HSVC) yang boleh diakses menerusi skrin TFT berukuran lima inci. Bukan itu sahaja, ruang penyimpanan di bawah tempat duduk kini lebih besar sebanyak 1 liter menjadi 22 liter, manakala soket 12V ACC digantikan dengan port USB.
Selain itu, kehadiran sistem kunci pintar (Smart Key) membolehkan penunggang menghidupkan enjin dan membuka tempat duduk dan tangki minyak tanpa menggunakan kunci.
Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 745cc silinder berkembar, namun ditala supaya patuh piawaian Euro 5. Bukan itu sahaja, kuasa turut meningkat sebanyak 4hp kepada 57.8 hp pada 6,750rpm sementara tork pula adalah 69Nm pada 4,750rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan dengan mod automatik dan manual.
Antara ciri elektronik yang disertakan adalah Throttle-by-Wire (TBW) yang menawarkan lima mod Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Pengawalan tork pula dilakukan oleh sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) menerusi tiga tahap input. Ciri ini boleh dinyahaktifkan.
Akhir sekali, casis X-ADV direka semula dengan tiub dengan ketebalan dan berat yang berbeza. Hasilnya, Honda berjaya mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 3kg. Rangka jenis ‘diamond’ itu dipadankan dengan fork USD 41mm dan penyerap hentak boleh laras dengan lengan ayun aluminium.