Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Honda X-ADV 2021, Tambahan 3hp, Ringan Dan Penampilan Baharu. Harga Bermula RM67,799

Erywan 03/05/2021 | 08:48 MYT

Selepas tiga tahun diperkenalkan di negara ini, Boon Siew Honda melancarkan Honda X-ADV versi 2021 dengan prestasi enjin yang lebih baik, ringan dan pembaharuan pada gaya.

Skuter kategori kembara itu masih menggunakan enjin dua silinder bersesaran 745cc SOHC yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik Transmisi Klac Berkembar.
Biarpun enjinnya masih sama, kuasanya ditingkatkan 4hp dan tork naik sehingga 1Nm. Kini jentera itu memiliki 57hp pada 6,750rpm dengan tork setinggi 69Nm pada 4,750rpm.

Sistem transmisinya juga kini diubah dengan penukaran gear pendek pada satu, dua dan tiga, manakala empat, lima serta enam lebih tinggi. Pada masa sama, kerangka jenis berlian baharu membuatkan X-ADV lebih ringan 1kg berbanding sebelum ini.

Throttle By Wire (TBW) menawarkan karakter enjin yang boleh diubah dengan empat mod STANDARD, SPORT, RAIN dan GRAVEL termasuk tambahan mod USER yang boleh dikustom oleh penunggangnya.

Panel meter TFT bersaiz 5 inci kini dilengkapi dengan sistem Arahan Suara Telefon Pintar Honda. Ia membenarkan penunggang memadankan dengan telefon bimbit untuk arahan panggilan telefon, email, muzik dan navigasi.

Bagaimanapun, ia memerlukan pendakap headset untuk sambungan telefon pintar, yang mana ia boleh dikawal menggunakan butang pada hendal kiri.

Dari segi penampilannya, ia kini lebih tajam dan langsing berbanding versi sebelum ini. Lampu utamanya diperkuatkan dengan sistem LED yang dipadankan Lampu Siang (DRL).

Ia juga menggunakan skrin baharu untuk perlindungan cuaca, glovebox 1.2 liter baharu dan tempat penyimpan di bawah tempat duduk berkapasiti 22 liter yang turut mempunyai slot USB.

X-ADV yang didatangkan dengan sistem kunci pintar itu ditawarkan dengan tiga pilihan warna membabitkan kelabu, merah dan hitam.
Harganya pula, ia dijual pada harga bermula RM67,799 tidak termasuk insurans. Warantinya pula, ia ditawarkan dua tahun atau 20,000km.

#honda
;