Antarabangsa
Honda X-Blade Edisi 2020 Lancar Di India Yang Patuh BS6, Harga Bermula RM6,078
Honda Motorcycle and Scooters India (Honda India) meneruskan momentum meluaskan lagi tawaran motosikal patuh standard piawaian BS6 dengan melancarkan model X-Blade edisi 2020.
Motosikal jenama Jepun itu ialah antara model paling bergaya dan sporty dalam segmen 150 hingga 160cc di India. Kini, model streetbike ini pasti lebih mudah menarik perhatian ramai kerana menggunakan set lampu depan dengan reka bentuk seperti muka robot.
Reka bentuk edisi 2020 ini tidak berbeza dengan model terdahulu yang diperkenalkan pada 2018. X-Blade kelihatan agresif dengan penggunaan panel badan bersudut tepat dan fairing depan berbentuk huruf V. Lampu signal belok masih jenis dipasang di atas lampu depan.
Satu ciri yang membezakan model ini dengan produk generasi terdahulu ialah suis mematikan fungsi enjin pada bar hendal, ditawarkan bersama X-Blade 2020.
Motosikal ini menggunakan enjin jenis silinder tunggal SOHC dengan sistem sejukan udara berkapasiti 162cc yang mampu menghasilkan output maksimum 10.2Kw pada 8,500rpm dan tork puncak 14.7Nm pada 6,000rpm. X-Blade yang dipasang tangki minyak berkapasiti 12 liter ini sebenarnya agak berat dengan ukuran timbang kasar 140 kilogram.
Selain ciri lampu LED, streetbike ini didatangkan bersama instrumen meter digital penuh yang mirip dengan model Honda CBR150R, kini dengan petunjuk kedudukan gear dan indikator bila perlu servis motosikal.
Sistem suspensi pula membabitkan fork teleskopik tradisional dan penyerap hentak tunggal pada subbingkai belakang. Ada dua varian ditawarkan iaitu X-Blade dengan dua set brek cakera atau versi cakera tunggal dengan brek dram roda belakang.
Honda memasang teknologi Sistem Brek Antikunci (ABS) saluran tunggal pada kedua-dua varian ini. Cakera brek depan berukuran 276 milimeter (mm) manakala di belakang ialah cakera 220mm atau dram 130mm.
Berat varian cakera tunggal cuma 143 kilogram manakala versi set brek cakera berkembar cuma 144kg. Harga motosikal X-Blade edisi 2020 ialah 107,000 rupi atau kira-kira RM6,078. Jaminan standard diberikan ialah tiga tahun dan pembeli boleh ambil opsysen waranti sehingga 6 tahun.
Must-Watch Video