Rasanya ramai sudah menonton video robot anjing dipanggil Spot yang agak menggerunkan di media sosial atau YouTube. Spot ialah satu daripada produk robot keluaran Boston Dynamics.

Kini, Boston Dynamics sudah ada tokey baru dan 'beliau' ialah Hyundai Motor Group. Ya, Hyundai sudah membeli hampir 80 peratus penguasaan daripada SoftBank Group untuk syarikat robotik itu. Baki 20 peratus itu kekal dimiliki SoftBank Group.


Transaksi jual beli ini menyaksikan peralihan wang AS$1.1 billion (RM4.45 bilion) bertukar tangan untuk Boston Dynamics. Jadi, apa akan berlaku selepas ini? Menurut laporan, Boston Dynamics akan teruskan kerja-kerja mengkomersialkan robot-robot termaju.

Hyundai pula akan ambil dan menggunakan inovasi Boston Dynamics untuk memperbaiki kenderaan autonominya. Antaranya mungkin keupayaan robot menilai persekitaran dan menyusuri secara selamat.


Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama untuk membangunkan pengeluaran komponen robotik dan solusi logistik pintar. Hyundai juga ada bonus tambahan memandangkan Boston Dynamics ada premis sedia ada di Boston dan Lembah Silikon (Silicon Valley).

Maknanya, Hyundai ada peuang dan akses untuk mencari kumpulan mereka yang cukup berbakat untuk djadikan tenaga kerja masa hadapan atau mendapat rakan bisnes baharu. Semasa pengumuman dibuat mengenai jual beli ini, Hyundai ada menyatakan bahawa mereka mahu bina robot manusia.


Menurutnya, robot-robot ini akan digunakan untuk tugas penjagaan seperti menjaga pesakit-pesakit di hospital. Teringat Honda dan Asimo? Malangnya projek Asimo telah ditamatkan pada 2018. Asimo mungkin boleh hidup semula jika Honda mahu cabar Hyundai-Boston Dynamics. Sekadar mungkin.