Hyundai memperkenalkan Elantra generasi ketujuh yang bakal bersaing dengan nama-nama besar dalam segmen C seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda3. Buat pertama kalinya dalam sejarah Elantra, ia kini boleh didapati dalam versi hibrid.

Bermula dari luaran, Elantra lebih besar berbanding model terdahulu dengan ukuran panjang 4,676mm, lebar 1,826mm dan jarak roda sepanjang 2,720mm. Dengan ukuran tinggi 1,415mm, ia juga lebih rendah dan ini secara tidak langsung memberikannya bentuk ala coupe.

Elantra adalah model kedua Hyundai yang menggunakan bahasa reka bentuk Sensuous Sportiness selepas Sonata baharu. Konsep rekaan yang ditampilkan adalah tajam dan bersegi yang boleh dilihat pada bahagian hadapan, sisi dan belakang sedan ini.

Ruang kabin tidak kurang hebatnya dengan elemen moden seperti paparan instrumen digital yang terdiri daripada dua skrin berukuran 10.25 inci, serta roda stereng ‘twin-spoke’. Satu lagi ciri menarik yang dibawa oleh model terbaru ini adalah sistem pencahayaan LED dengan 64 warna berbeza.

Ciri-ciri lain yang turut ditawarkan adalah Apple CarPlay, Android Auto, sistem pengenalan suara, pengecasan wayarles dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.

Elantra menampilkan enjin 2.0-liter MPI yang menghasilkan 147hp pada 6,200rpm dan 179Nm pada 4,500rpm. Enjin petrol ini digandingkan dengan transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT) yang ditala untuk kecekapan bahan api.

Sementara itu, versi hibrid pula hadir dengan enjin 1.6-liter GDI dan sebuah motor elektrik yang dijana oleh bateri lithium-ion 1.32kWh. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 139hp dan 264Nm.

Dari segi keselamatan, Elantra menampilkan sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward-Collision Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), High Beam Assist (HBA), Driver Attention Warning (DAW) dan kamera belakang.