Selepas beberapa kali diacah, kenderaan elektrik bateri pertama Hyundai iaitu Ioniq 5 akhirnya dilancarkan secara rasmi. Crossover saiz pertengahan itu dibina menggunakan platform E-GMP baharu manakala rekaannya tidak ubah seperti model konsep 45 yang diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2019.


Dari segi dimensi, Ioniq 5 mempunyai ukuran yang agak besar iaitu 4,635mm panjang, 1,890mm lebar dan 1,405mm tinggi. Penggunaan platform itu memberikannya ukuran tapak roda yang panjang iaitu 3,000mm dan ini menyumbang kepada ruang kabin luas dan selesa. Untuk perbandingan, ukuran tapak roda Santa Fe adalah 2,765mm sahaja.


Ruang dalaman Ioniq 5 bukan sahaja luas, malah lantainya juga rata. Digabungkan dengan konsol tengah yang boleh digelongsorkan sebanyak 140mm, penumpang boleh bergerak dengan bebas di dalam crossover ini. Selain itu, ketebalan kerusi hadapan juga dikurangkan sebanyak 30% bagi memberikan lebih banyak ruang kepada penumpang di barisan kedua.


Menurut Hyundai, tempat duduk, pelapik siling, panel pintu, karpet lantai dan perehat tangan dibalut menggunakan bahan mesra alam seperti botol yang dikitar semula, benang berasaskan tumbuhan dan kulit yang diproses secara eko. Pengeluar automotif dari Korea itu turut menggunakan cat bio yang mengandungi ekstrak tumbuhan.


Ioniq 5 ditawarkan dengan dua pilihan bateri iaitu 58kWj atau 72.6kWj, sama ada dengan sebuah motor elektrik (pacuan dua roda) atau dua buah motor elektrik (pacuan semua roda). Semua versi boleh mencapai kelajuan maksimum 185km/j. Versi tertinggi iaitu 72.6kWj AWD mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 302hp dan 605Nm, dan boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam 5.2 saat.


Apabila dilengkapi dengan pacuan dua roda dan bateri 72.6kWj, Ioniq 5 boleh dipandu sejauh 470 hingga 480km dengan satu cas penuh. Pengecasan kuasa bateri dari 10 hingga 80% dilakukan dalam masa kira-kira 18 minit dengan pengecas 350kW. Platform E-GMP berkenaan menyokong kedua-dua infrastruktur pengecasan 400V dan 800V.

Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berfungsi untuk membekalkan kuasa sehingga 3.6 kW. Port V2L terletak di bawah tempat duduk barisan kedua dan boleh digunakan semasa kereta dihidupkan. Satu lagi port terletak di bahagian luar dan boleh digunakan untuk mengecas pelbagai kelengkapan elektrik dengan menggunakan ‘converter’. Apa yang menarik, port ini boleh digunakan semasa kereta tidak dihidupkan.

Dari segi keselamatan, Ioniq 5 didatangkan dengan sistem bantuan pemandu Hyundai SmartSense yang telah dinaik taraf dengan ciri Highway Driving Assist 2 (HDA2). Ciri-ciri lain yang disertakan termasuklah Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Driver Attention Warning (DAW), dan High Beam Assist (HBA).