Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Hyundai Kona Night Edition – Menyerlahkah Lagi Agresifnya

Erywan
24/07/2020 03:04 MYT
Walaupun tidak menonjol, tidak dapat dinafikan lagi tona gelap mempunyai tarikan yang tersendiri.

Dalam konteks dunia automotif, penggunaan tona seperti itu akan membuatkan sesuatu kenderaan itu kelihatan lebih jahat dan garang. Mungkin inilah objektif yang cuba dicapai oleh Hyundai menerusi Kona Night Edition.


Dilancarkan secara eksklusif untuk pasaran Amerika Syarikat, Kona Night Edition hadir dengan kemasan hitam berkilat pada bahagian luaran dan dalaman bagi menggantikan elemen krom yang digunakan pada versi biasa.


Selain itu, ia juga hadir dengan lampu LED hadapan dan belakang, pedal sport aluminium serta rim aloi RAYS berukuran 18 inci.


Pelanggan yang mahukan penampilan serba hitam seperti Darth Vader boleh memilih warna Ultra Black, namun Hyundai turut menawarkan warna Galactic Grey seperti yang ditampilkan ini serta Chalk White untuk mereka yang mahu kelihatan lebih bersahaja.


Sesuai dengan penampilannya yang agresif, Kona Night Edition hadir dengan enjin turbo 1.6-liter empat silinder yang menghasilkan 175hp dan 264Nm. Enjin terbabit dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.


Menurut Hyundai, model itu akan dihasilkan dalam jumlah yang terhad namun bilangan sebenar tidak didedahkan. Harganya juga belum diumumkan.

Pastinya ia memberi satu kenderaan yang menarik untuk dimiliki berbanding versi biasa!
#Hyundai
;