Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Hyundai Santa Fe Versi Dipertingkatkan - Rekaan Lebih Segar Guna Platform Baharu

Erywan
05/06/2020 05:58 MYT
Hyundai memperkenalkan Santa Fe generasi keempat versi facelift yang bukan sekadar hadir dengan reka bentuk lebih segar. Namun, mempunyai platform baharu yang dikatakan dapat meningkatkan aspek pengendalian, prestasi serta keselamatan.


Dari segi penampilan, Santa Fe menerima jeriji yang lebih lebar dan menonjol dengan corak berbeza mengikut varian. Lampu utamanya turut direka semula dan kini mempunyai lampu nyalaan siang berbentuk T. Turut ditawarkan adalah rim 20 inci dengan rekaan terkini.


Bahagian belakang pula diperkemaskan dengan grafik lampu baharu serta bar lampu di sepanjang bonet yang menjadikan SUV ini tampak lebih lebar. Bukan itu sahaja, pemantul turut diletakkan pada bahagian bampar bagi memberikan kesan visual yang sama.


Di ruang kabin, Santa Fe menerima konsol tengah ‘terapung’ dengan lebih banyak ruang storan pada bahagian bawah konsol terbabit. Turut disertakan adalah tombol Terrain Mode yang membolehkan pemandu memilih mod pelbagai mod pemanduan yang disediakan seperti Sand, Snow and Mud, Eco, Sport, Comfort serta Smart.


Bukan itu sahaja, penggunaan sistem Shift-by-Wire juga membolehkan Hyundai mengintegrasikan butang penukaran gear pada konsol tengah bagi menggantikan tombol gear yang digunakan pada versi terdahulu. Langkah ini menghasilkan konsol tengah yang lebih kemas dan teratur.


Bagi sistem infotainmen pula, Santa Fe mendapat skrin sentuh 10.25 inci dan paparan pemandu berukuran 12.3 inci. Maklumat mengenai barisan enjin belum didedahkan namun apa yang pasti, model ini bakal hadir dengan pacuan hibrid plug-in buat pertama kalinya.