Individu Bina Sendiri ‘M2 CSL’ Tidak Rasmi Guna BMW M2 Sebagai Asas
Erywan
22/01/2021 01:59 MYT
22/01/2021 01:59 MYT
Walaupun pernah diura-urakan dan dipandu uji sebelum ini, BMW M2 CSL (Coupe Sport Lightweight) tidak kunjung tiba. Sebaliknya BMW hanya memperkenalkan M2 CS sebagai varian teratas dalam barisan model coupe sport itu pada penghujung tahun lalu.
Seorang peminat jenama itu dari Jerman mengambil tindakan sendiri dengan membina sebuah ‘M2 CSL’ tidak rasmi dengan menggunakan M2 keluaran tahun 2016 sebagai asas. Dikenali sebagai M2 CSL Turbomeister Edition, jentera ini melalui proses modifikasi menyeluruh yang melayakkannya memakai gelaran ‘CSL’.
Di bawah hud, enjin S55 3.0-liter biturbo enam silinder sebaris itu kini dilengkapi dengan sistem intake Eventuri dan sistem ekzos dari Beek Auto Racing bagi membolehkannya menjana 520PS dan 660Nm, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 110PS dan 110Nm berbanding versi standard dan 70PS berbanding M2 CS. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang ditala perisiannya.
Pemiliknya iaitu Marc Ruten turut memperkuatkan casis jentera ini menerusi penggunaan sistem suspensi AST. Untuk brek pula, cakera hadapan digantikan dengan unit Nishin dengan angkup enam piston, manakala cakera belakang dikekalkan standard. Langkah-langkah pengurangan berat lain yang dilakukan menyaksikan M2 CSL Turbomeister Edition berjaya menyingkirkan beban berlebihan sebanyak 110kg jika dibandingkan dengan M2 standard.
Topaz Detailing ditugaskan untuk menghiasi bahagian luaran dengan gabungan warna oren, putih dan hitam yang diilhamkan oleh 2002 Hommage Concept: Turbomeister Edition yang diperkenalkan pada 2016. Penampilan unik ini dipadankan dengan rim BBS 19 inci dan kit badan keluaran AC Schnitzer.
Ruang dalaman pula menampilkan stereng dengan balutan Alcantara dan kulit, paddle shifter kustom, kemasan gentian karbon dan Alcantara pada tuil gear dan brek tangan, serta set pedal M Performance. Apa yang menarik, logo Turbomeister akan terpancar ke tanah apabila pintu dibuka.