Tempatan
Ini 13 ciri baru Proton Saga 2019 - Harga bermula RM32,800!
Model ikonik Proton, akhirnya menerima pembaharuan dengan pengenalan Saga 2019 yang mana ia dijual pada harga sangat menarik iaitu di bawah RM40,000.
Ternyata dengan harga yang ditawarkan itu menjadikan Saga sebagai 'kenderaan rakyat', sekali gus mampu untuk dimiliki. Harga bermula RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT),
Bagi memudahkan anda mengenal pasti perbezaan Saga 2019, ia boleh diperincikan seperti berikut:
1. Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang.
2. Pada bahagian jeriji turut mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019.
3. Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan dan rekaan di belakang dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan nama PROTON terletak pada bahagian penutup but.
4. Satu set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.
5. Pada bahagian dalam pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada monitor skrin sesentuh 7-inci terapung pada model premium. Digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, kemudahan ini mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.
6. Perubahan lain termasuklah upholsteri tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan Bantuan Pemanduan Eco dan turut dilengkapi sehingga tiga soket USB.
7. Kemudahan yang turut disediakan dalam Saga 2019 termasuklah kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.
8. Secara mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini.
9. Barisan Jurutera PROTON kemudiannya membuat peningkatan pada prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia.
10. Sebagai contoh brek yang dilengkapkan pada model ini adalah sama seperti yang dipasangkan pada Proton Iriz dan Persona yang lebih besar.
11. Ciri keselamatannya terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan ISOFIX.
12. Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
13. Dengan pertambahan ciri-ciri keselamatan ini, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40,000 dilengkapi ESC dan TCS.
PROTON turut menawarkan pakej Nilai Tambahan untuk model Saga baharu itu sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019.
Terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard yang bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun.
Seterusnya adalah pakej kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.98 peratus setahun dan pakej insurans yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu mereka dengan panel PROTON.
Pakej Nilai Tambahan itu apabila digabungkan menyaksikan Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi penjimatan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini, manakala varian Standard AT 1.3L jimat RM2,043, dan Standard MT 1.3L jimat RM2,291.
Spesifikasi Proton Saga 2019
- Enjin: 4 silinder sebaris, 16 injap, DOHC, VVT
- Sesaran: 1,332cc
- Kuasa Maksimum: 95PS pada 5,750rpm
- Tork Maksimum: 120Nm pada 4,000rpm
- Transmisi: Lima kelajuan manual (Standard MT) dan empat kelajuan automatik (Standard AT dan Premium AT)
- Stereng: Stereng berkuasa hidraulik
- Suspensi hadapan: MacPherson Sturt with Stabiliser Bar
- Suspensi belakang: Torsion Beam Axle
- Kapasiti bahan api: 40 liter