Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Watch

Ini antara Honda Civic EK2 yang kemas dan menarik hasil modifikasinya

Public Anonymous User 05/10/2018 | 07:11 MYT
Buat secara berperingkat untuk mengubahsuai kereta dan akhirnya mendapat satu kepuasan yang tidak ternilai adalah sebahagian daripada kaki modifkasi di negara ini.

Ini kerana ramai kaum Adam di negara ini lebih suka melihat kereta yang dipandu lebih cantik dan bergaya. Dan ada juga daripada mereka mahukan sesuatu yang unik supaya ia berbeza daripada jentera lain.

Seperti pemilik Honda Civic EK2 yang anda ini adalah individu tidak pernah putus asa atau bosan untuk melakukan modifikasi terhadap jentera pemanduan hariannya.

Jika dahulu memiliki sebuah jentera Honda 4 pintu, kini dia berubah arah kepada 2 pintu dengan spesifikasi yang lebih berbeza.

Seperti biasa, jentera yang menghiasi ruangan ini sudah pasti tidak dibiarkan standard. Jentera ini dipadankan dengan enjin B18C Type R dengan pelbagai naik taraf yang cukup hebat.

Apa yang sudah diubah suai pada rangkaian kuasa itu membabitkan kepala silinder yang melakukan proses port & polish dari Nasty Port Flow.

Bahagian kepala selinder itu juga dipadankan aci sesondol Skunk2 yang diikatkan bersama pulley juga dari jenama yang sama. Bagi memberi ketahanan lebih berganda bagi tali sawat utamanya, ia diperkuatkan dengan jenama GReddy yang terbukti kualitinya.

Melengkapkan lagi proses naik taraf enjin itu, beberapa peralatan jenama Spoon turut menjadi pilihan seperti kabel palam pencucuh serta unit pendikit badan yang disambung dengan ‘air intake’ Avantech Racing. Kalau dengar jenama itu, sudah pasti harganya tidak murah ya!

Untuk talaan lebih hebat dan teratur dalam kebuk pembakaran, ECU Crome Gold dipadankan untuk memastikan keseluruhan janaannya lebih teratur.

Menariknya, kuasa dari enjin kemudian disampaikan ke bahagian roda melalui kotak gear lengkap semi LSD dan final drive 4.4 dari Cusco serta ratio penuh.

Bagi penghantaran kuasa lebih sempurna, klac Ogura Super Single menjadi pilihan untuk digandingkan bersama. Pasti segala kelengkapan yang digunakan ini, sudah pasti membuat kereta lebih tujahan.

Jika ubah suai enjin, jadi sistem ekzos juga perlu dinaik taraf. Gas karbon yang terhasil dari pembakaran dalam ruangan enjin ditolak keluar melalui ekstraktor PLM.

Ia juga disambung paip tahan karat berukuran 2.5 inci serta perendam bunyi dari HKS Hi-Power yang digantung di bahagian belakang.

Pemiliknya juga mementingkan keselesaan terhadap kenderaannnya, jadi dia memilih penyerap hentak boleh laras BC Racing HLSH.

Pada masa sama, sistem brek diperhebatkan kaliper AP Racing lengkap dengan hos tahan karat serta rotor ‘2-piece’ dari jenama yang sama di bahagian hadapan. Brek belakangnya adalah milik EK9 yang asli.

Selain itu, penampilan luar kini lebih bergaya dengan salinan penuh dari model Civic EK9 . Turut kelihatan lampu titanium di bahagian depan dan sonar di belakang serta bumbung matahari daripada EK4.

Bagi membuatkan lebih unik, beberapa peralatan dari gentian karbon turut menghiasi jentera ini seperti bonet hadapan, but, jeriji, cermin sisi, spoiler belakang, lips, penutup bahan api, bumper dan yang paling menarik dapra sisinya adalah dari J’s Racing.

Tidak lengkap sebuah jentera hebat sekiranya tidak dipasangkan dengan rim yang menarik. Oleh yang demikian, jentera ini memadankan rim Volk Racing CE28 berukuran 15 inci 7jj dan offset 43. Tayar Yokohama AD08R 195/55R15 diberi tanggungjawab untuk memastikan cengkaman lebih cekap di atas permukaan jalan.

Pada ruang dalaman, tempat duduk Recaro merah serta stereng milik Integra DC5 menjadi penyeri kenderaan ini.

Selain itu, beberapa peralatan milik EK9 dipasang antaranya karpet besar dan kecil, panel pintu serta papan pemuka lengkap meter paparan utama.

Apa yang kami boleh katakan, ubah suai yang dilakukan cukup kemas dan menarik!

;