Prestasi jualan yang lembab memaksa Alfa Romeo untuk menghentikan jualan 4C Spider di pasaran Amerika Syarikat tidak lama lagi. Sebagai tanda meraikan pemergian model itu, Alfa Romeo memperkenalkan model edisi khas 4C Spider 33 Stradale Tributo.


Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini adalah tribut kepada satu daripada jentera tercantik yang pernah dihasilkan oleh Alfa Romeo iaitu 33 Stradale. Pengeluarannya akan dihadkan kepada 33 unit sahaja dengan harga $79,995 (RM324,340) setiap unit.


Sekilas pandang, ia tampak seperti 4C Spider versi standard. Bagaimanapun, apa yang menjadikan model ini lebih istimewa adalah warna Rosso Villa d’Este Tri-Coat dan rim aloi kelabu-emas dengan rekaan lima lubang berukuran 18 inci di hadapan dan 19 inci di belakang. Bukan itu sahaja, ini juga kali pertama Alfa Romeo mengenakan cat merah jernih pada casis gentian karbon 4C Spider.


Untuk ruang dalaman, pengeluar dari Itali itu menyertakan tempat duduk sport komposit dengan balutan suede Dinamica dan kulit tembakau, manakala pada papan pemuka, ambang pintu dan konsol tengah pula terdapat plak khas.


Pemilik juga akan menerima sebuah buku yang direka oleh studio rekaan Alfa Romeo (Centro Stile) yang mengandungi kronologi 4C dari konsep rekaan, teknologi, hingga ke kilang pemasangan syarikat itu di Modena serta sejarah 33 Stradale.


Dari segi spesifikasi, ciri-ciri yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan disertakan secara standard pada model ini. Antaranya adalah ekzos Akrapovic dwi-mod dengan muncung tengah, pengecas bateri, pelindung kereta, upholsteri suede/kulit, halo gentian karbon, sayap belakang dan perincian merah, putih dan hijau (bendera Itali) pada cermin sisi.


Aspek kuasa tidak berubah. Terletak di bahagian belakang adalah enjin turbo 1.75-liter empat silinder dengan janaan 237hp dan 350Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan 4C Spider melakukan pecutan 0-96km/j dalam 4.1 saat dan memecut sehingga 258km/j.