Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ini Bukan Ducati Panigale 1198SP, tapi Geely Jiming JM400 Ji Yue S

Erywan
17/03/2020 04:15 MYT
Pengeluar automotif China, Geely Jiming baru-baru ini dikatakan melancarkan sportbike yang dinamakan JM400 Ji Yue S dengan menggunakan 394cc.

Apa yang peliknya dengan motosikal itu, reka bentuknya dikatakan mengambil inspirasi motosikal lagenda Itali iaitu Ducati Panigale 1198SP.

Dari segi reka bentuknya, difahamkan ia seolah-olah sama dengan jentera daripada Itali itu, cuma yang membezakannya adalah rangkaian kuasa.

Luarannya, JM400 Ji Yue S mengunakan fork terbalik di hadapan, manakala belakang dipadankan monoshock yang boleh laras kekerasannya dengan beban.

Reka bentuk masih lagi mempesona dengan menggunakan lampu hadapan berkembar LED, selain faring aerodinamik untuk menggurangkan seretan udara.

Ia turut dipadankan tayar bersaiz 120/70-17 dihadapan dan belakang padanan 160/60-17. Pada masa sama, digabungkan sistem brek berkembar di hadapan dan tunggal di belakang.

Menariknya, penunggang disajikan dengan panel instrumen LCD digital untuk memaparkan segala maklumat motosikal berkenaan.

Dari segi rangkaian kuasanya, ia menggunakan enjin dua silinder 394cc dengan penyejuk cecair serta digabungkan kotak gear enam kelajuan.

Kuasa yang dibekalkan daripada enjin itu mencecah 34hp dan difahamkan ia mampu memecut sehingga 160km/j. (Boleh tahan laju!)

Harganya pula, boleh dikatakan ia tidak terlalu mahal jika dibandingkan dengan Ducati Panigale 1198SP. Ini kerana harga jualannya kira-kira USD 6,640 (RM28,751).

;