Watch
Ini caranya jaga topi keledar harga ribu-ribu
Bagi seorang penunggang motosikal, topi keledar adalah kelengkapan keselamatan yang paling penting kerana ia boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati.
Oleh itu, seperti motosikal itu sendiri, topi keledar juga mempunyai cara penjagaan yang tersendiri untuk memastikan ia kekal lama dan sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk melindungi kepala anda.
1. Bawa topi keledar anda dengan betul sama ada dengan memegang tali dagu (chin strap) atau membawanya di dalam beg kain khusus. Jangan pegang ‘chin bar’ kerana lama kelamaan tekanan daripada jari-jari anda boleh menjejaskan bentuk busa pada bahagian itu.
2. Jangan simpan sarung tangan di dalam topi keledar kerana percaya atau tidak, gabungan peluh dan kotoran boleh merosakkan jahitan dan ‘lining’ topi keledar dalam jangka masa panjang.
3. Gunakan produk pembersihan seperti yang disyorkan oleh pengeluar. Produk yang terlalu kasar mungkin menanggalkan kotoran dengan lebih berkesan, tetapi ia boleh mengakis permukaan cengkerang topi keledar dan membuatkan struktur menjadi lemah.
4. Jangan sangkut topi keledar pada cermin sisi kerana ia bukan sahaja menjejaskan lining, malah topi keledar anda dijamin akan terjatuh.
5. Cuci topi keledar anda sekurang-kurangnya setahun sekali. Jangan tergesa-gesa dan ambil masa anda. Kebanyakan topi keledar masa kini didatangkan dengan lining yang boleh dicabut, jadi pastikan setiap bahagian yang dicabut dibersihkan.
6. Jangan simpan topi keledar sebelum ia betul-betul kering. Untuk pengeringan, gunakan sumber semula jadi (angin atau cahaya matahari) dan elakkan menggunakan pengering rambut kerana ia boleh melemahkan gam pada bahagian dalaman.
7. Jangan ingat topi keledar anda sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi sekiranya ia pernah terjatuh. Hantar kembali kepada pengeluar untuk pemeriksaan lanjut dan mereka akan memberitahu anda sekiranya ia masih elok. Sebagai contoh, Arai akan melakukan X-Ray ke atas topi keledar mereka yang dihantar semula.
8. Tukar topi keledar anda setiap lima tahun (bergantung kepada penggunaan) kerana dari masa ke masa, keadaan komponen-komponen di bahagian luar dan dalam topi keledar akan merosot walaupun jika ia tidak digunakan.