Toyota baharu sahaja melancarkan dua model baharu di Amerika Syarikat menerusi generasi kedua crossover Toyota Venza dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Sienna.


Kedua-duanya adalah menggunakan teknologi hibrid yang turut menggunakan enjin petrol berkapasiti 2.5 liter. Cuma Venza mempunyai 3 motor elektrik, manakala 2 motor elektrik untuk Sienna.


Model berkenaan dilancarkan di negara berkenaan selepas kejayaan penjualan Toyota RAV4 Hybrid sebanyak 92,925 unit pada tahun lalu.


Kenderaan hibrid menjadi pilihan masyarakat di sana berikutan jentera itu mempunyai daya pecutan dan tork lebih baik. Pada masa sama, tahap penggunaan bahan api lebih rendah berbanding kenderaan konvesional yang menggunakan enjin pembakaran biasa.


Bagi model Toyota Venza baharu itu, ia dibangunkan dengan menggunakan platfrom TNGA-K iaitu sama dengan RAV4 baharu. Ia juga dipadankan enjin sama dengan RAV4, pada masa sama membantu Toyota dari segi kos dan masa.


Sebagai tambahan, ia mempunyai dua motor elektrik di gandar hadapan dan satu lagi di belakang untuk memberi prestasi terbaik untuk crossover berkenaan. Lagi pun, ia juga adalah kenderaan pacuan semua roda (AWD) berbanding dua motor elektrik untuk kenderaan pacuan hadapan.


Toyota juga mengatakan, purata bacaan penggunaan bahan apinya mencecah 5.8 liter bagi setiap 100km. Ini bermakna setiap liter ia boleh dipandu sejauh 17.24km.


Untuk makluman, Toyota Venza itu dikenali sebagai model Toyota Harrier bagi pasaran Malaysia dan Jepun. Mungkin, Toyota Harrier generasi sebelum ini akan digantikan dengan yang baharu.